mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: SPBYDP Perpaduan Rakyat Dan Kesejahteraan Negara

Petikan Khutbah 6 September 2019 6 Muharram 1441 H: JAKIM

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Teras Perpaduan Rakyat Dan Kesejahteraan Negara

Fitrahnya manusia itu suka hidup di dalam satu kelompok, bersama membentuk masyarakat lalu berusaha membina sebuah tamadun dan peradaban bagi mendapatkan sebuah jalinan kehidupan yang harmoni dan membahagiakan.

Justeru kelompok ini akan terikat dengan satu peraturan, undang-undang mahupun keagamaan yang lazimnya disatukan di bawah satu jakim.jpgkepimpinan. Mereka akan melantik seorang ketua bagi menjadikan mereka bangsa yang berkepatuhan dan bersatu di bawah satu pemerintahan

Mengikut pandangan Dr Yusuf AlQaradhawi, dalam bukunya yang bertajuk Fiqh Kenegaraan, menyatakan Agama Islam menyeru kepada  pengaturan dan pentadbiran yang rapi dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab.

Malah dalam anjuran bersolat Jemaah, Nabi s.a.w akan merapikan barisan di samping memilih seorang yang terbaik menjadi imam. Begitu juga sesuatu urusan perjalanan musafir itu perlu dilengkapkan dengan melantik seorang ketua.

Sabda Nabi s.a.w, “Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah salah seorang dari mereka sebagai ketua.” (Riwayat Abu Daud)

Keperibadian orang-orang mukmin yang telah dikukuhkan Allah akan kekuasaannya, dengan berdirinya satu Negara telah digambarkan di dalam firmanNya; “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah AlHajj ayat 41)

Di Negara kita, Institusi Diraja yang penuh kedaulatan, mempunyai sejarah yang begitu panjang zaman berzaman. Institusi ini telah termaktub dalam sejarah sebagai Insititusi yang telah lama diberikan kesetiaan dan kemuliaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat jelata.

Malah seiring dengan penyebaran dan perkembangan dakwah Islam di gugusan Tanah Melayu ini, Institusi Diraja tetap dan terus diangkat sebagai lambang kelestarian perpaduan dan kedaulatan Agama Islam.

Dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi.

Fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum, kuasanya melangkaui kepentingan politik, di mana keputusan atau titah-titah perintahnya adalah berasaskan kepentingan Negara, pelindung perlembagaan dan sebagainya. Mengikut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara Malaysia.

Jawatan ini telah diwujudkan selepas Negara ini mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Maka sebagai ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain di samping mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam melaksanakan urusan Kerajaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam beberapa fungsi terpenting Negara.

Dalam fungsi perundangan contohnya, Kuasa Perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen, yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu unsur parlimen.

Selain dari fungsi tersebut, penglibatan kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah termasuk fungsi Eksekutif, Perundangan, Ketenteraan, Keagamaan, Diplomatik, Kuasa Pengampunan dan Sumber Penghormatan serta Kebesaran.

Pemerintahan hendaklah berasaskan Rahmatan Lil Alamin. Malah perkataan itu sendiri rohnya adalah daripada seruan di dalam AlQuran.

Oleh yang sedemikian kedudukan Raja-raja Melayu itu sifatnya adalah menjaga, memelihara, melindungi kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Negara. Raja-raja Melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi, yang mana secara tidak langsung sebagai penjamin kepada pentadbiran Islam di Malaysia.

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah hari ini ialah:

Pertama : Agama Islam mendidik kita dalam menentukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang memerlukan satu kerajaan terpimpin yang diterajui oleh seorang ketua

Kedua : Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dalam perlembagaan Negara, seiring fungsi Institusi Diraja ini bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk kesemua kaum.

Ketiga : Sebagai rakyat yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan bersama serta cintakan negara, kita perlulah memberikan ketaatan dan kesetiaan pada Institusi Diraja dan sesekali tidak melakukan sebarang penderhakaan terhadap Raja-raja.

Marilah kita meneruskan keluhuran kerajaan berperlembagaan ini dengan tetap memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi pada Institusi Diraja.

Moga kepatuhan ini akan menjadikan kita termasuk dalam golongan yang taat pada perintah Allah Taala, seperti mana firmanNya; Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. Surah An-Nisaa’ : ayat 59
Tags: agong, agung, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “agong” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments