mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Cintakan Negara Asas Keamanan Dan Perpaduan

Petikan Khutbah Jumaat 13 September 2019M / 13 Muharram 1441H JAIS

Cintakan Negara Asas Keamanan Dan Perpaduan

Islam sangat menggalakkan umatnya saling bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan hormat-menghormati bukan sahaja dalam kalangan saudara se-Islam sendiri, malah juga sesama masyarakat bukan Islam terutamanya untuk memajukan negara dalam jais.jpgsemua bidang demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara Malaysia.

Tanpa kerjasama, toleransi dan saling bersatu padu antara kaum, negara kita akan berada dalam kemunduran dan berlaku pergolakan yang berterusan sehingga boleh mengganggu gugat kesejahteraan Negara.

Ini bertepatan dengan firman Allah taala dalam surah al-Maidah ayat 2: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertakwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksayNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan bagi mengekalkan semangat bersatu padu serta muafakat antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum , agama dan adat resam.

Perpaduan yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari pengorbanan, kesabaran dan usaha gengerasi kita yang terdahulu.

Janganlah kita berpecah belah dan berselisih faham hingga membawa kepada kehancuran dan kelemahan serta hilang segala-galanya yang telah terbina sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46:“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.

Sabda Nabi SAW ketika pertama kali sampai di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah”. (Riwayat al-Bukhari)

Perasaan cintakan negara akan melahirkan sifat kebertanggungjawaban dalam memajukan negara dalam pelbagai bidang sama ada sosial, ekonomi, politik, agama, budaya atau pendidikan.

Salah satu cara untuk melahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bagi kepada negara ini ialah dengan memahami kepelbagaian budaya dan adat resam semua kaum dalam Negara kita.

Sejarah Islam di bawah pimpinan junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW di Madinah telah membuktikan bahawa negara yang mempunyai penduduk pelbagai agama dan kaum boleh hidup aman damai di bawah satu pemerintahan.

Rasulullah SAW telah berjaya menyatupadukan semua penduduk Madinah dan mereka saling bersatu padu, bertoleransi dan saling tolong-menolong dengan membentuk satu perlembagaan negara yang dikenali sebagai “Piagam Madinah”.

Antara isi perlembagaan tersebut ialah semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam meningkatkan kemajuan ekonomi Madinah, bersatu padu dan patuh kepada Rasulullah SAW sehingga Madinah menjadi sebuah negara Islam terulung pada waktu itu.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru sidang Jumaat sekalian untuk bersama-sama menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan.

1. Umat Islam wajib mencintai Negara dengan memelihara keamanan dan perpaduan.

2. Sebagai rakyat yang cintakan Negara, wajiblah bersikap saling hormat-menghormati tanpa mengira agama dan bangsa yang merupakan asas perpaduan dan keamanan Negara.

3. Umat Islam mestilah mensyukuri nikmat keamanan dan perpaduan yang dikecapi pada hari ini dan menolak sebarang bentuk pertelingkahan dan perselisihan yang membawa kepada kehancuran

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku”. (al-Baqarah : 152).
Tags: keamanan, negara, perpaduan. khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “keamanan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments