mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Suburkan Kasih Sayang, Hindari Permusuhan

Petikan Khutbah Jumaat 13 September 2019M / 13 Muharam 1441H JAWI

Suburkan Kasih Sayang, Hindari Permusuhan

Kasih sayang adalah asas yang paling penting untuk menggapai keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

jawi_logo.jpgIslam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara bentuk rahmat yang dibawa oleh Islam ialah sikap dan perasaan kasih sayang sesama makhluk.

Justeru, semua urusan manusia sama ada berkaitan hubungan kepada Allah SWT atau sesama manusia, Islam menuntut umatnya mengamalkan sikap berkasih sayang.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 77: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat demikian.”

Menurut Ibn Kathir r.h., ayat ini menganjurkan supaya orang beriman berbuat baik kepada sesama makhluk Allah SWT sebagai mana Allah SWT telah berbuat baik kepada mereka.

Kasih sayang adalah asas keadilan dan kesaksamaan dalam hubungan sesama makhluk. Maka dengan sebab itu, Allah SWT mengaitkan orang yang tidak mempunyai sikap rahmah sebagai golongan yang melakukan kerosakan dan kefasadan.

Sikap saling membenci dan bermusuhan sesama rakyat adalah tidak baik untuk pembangunan negara dan generasi akan datang. Malah jika tidak dibendung, ia merupakan faktor utama keruntuhan dan kejatuhan sesebuah negara

Sikap berkasih sayang diterapkan dalam pentadbiran sehingga tertegaknya keadilan, dalam peniagaan sehingga tidak berlaku penindasan dan riba, dalam hidup berjiran sehingga tidak berlaku ketegangan dan pertelingkahan kaum.

Masih belum terlambat untuk mulakan tahun baru 1441 Hijriah ini dengan azam yang baru iaitu untuk berhijrah ke arah menjadi hamba Allah yang bersifat pengasih dan penyayang dalam kehidupan seharian.

Ini bertepatan dengan tema sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini iaitu “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”.

Menerusi al-Quran, Allah SWT telah menyatakan bahawa orang yang berhijrah adalah orang yang mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 218: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Memiliki hati yang penuh dengan kasih sayang serta berusaha untuk sentiasa melakukan kebaikan bukanlah suatu yang mudah.

Seseorang itu terpaksa berjuang untuk mengekang ego dan menundukkan keangkuhan serta kesombongan diri selain mengelakkan sikap mementingkan diri sendiri.

Oleh kerana itu, amalan dan sikap saling berkasih sayang sesama manusia mendapat tempat yang mulia di sisi Islam. Imam Abu Dawud r.h dalam Sunannya telah meriawayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Para penyayang akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah). Hendaklah kamu mengasihi penduduk bumi, (nescaya) kamu akan disayangi oleh sesiapa yang ada di langit.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Islam adalah agama yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang, bukan sebaliknya.

Kedua: Kita hendaklah menyemai dan menyuburkan sikap berkasih sayang dalam kalangan warganegara khususnya sesama Muslim.

Ketiga: Kita hendaklah berusaha menundukkan ego dan menjauhi sikap pentingkan diri dalam usaha menerapkan kasih sayang sesama makhluk.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 1: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”
Tags: kasih, khutbah, permusuhan, sayang
Subscribe

Posts from This Journal “kasih” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments