mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima

Petikan Khutbah Jumaat 04 Oktober 2019M / 05 Safar 1440H: JAIS

Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima

Islam menganjurkan umatnya supaya berusaha dan memperolehi harta secara yang halal bagi mencapai kesenangan hidup di dunia dan di akhirat.
jais.jpg
Memiliki harta merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua. Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan bersyukur atas segala nikmat yang diperolehi dengan membelanjakan hartanya pada jalan Allah, nescaya Allah SWT akan membalas segala amal baik yang telah dilakukannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil ayat 20:“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, - sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahala-Nya.”

Sesungguhnya orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan di hari akhirat kelak.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan arasy Allah di akhirat kelak salah satunya adalah:“Dan seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu amalan bersedekah juga boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Hadis daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu Anhubahawa Rasulullah SAW bersabda:“Dan sedekah melenyapkan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Bersedekah atau berinfaq tidak akan menjadikan seseorang itu miskin bahkan mempermudahkan ia memperoleh sumber rezeki.

Firman Allah SWT dalam surah al-Saba’ ayat 39:“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hambahamba-Nya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaikbaik pemberi rezeki.”

Sekecil mana sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang dalam kesempitan.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Riwayat al-Bukhari).

Perbuatan meminta derma tanpa kebenaran masih berleluasa di sana sini. Kanak-kanak ini ada yang digunakan khusus menjalankan kutipan derma dan ada juga yang digunakan untuk menjual cakera padat syarahan agama, kismis, buku dan sebagainya.

Malangnya, masyarakat seperti tidak mempedulikan sama ada individu atau kanak-kanak yang menjalankan kutipan derma sama ada benar-benar mewakili sesebuah institusi seperti maahad tahfiz ataupun melakukan penipuan.

Pungutan khairat diertikan sebagai kutipan bagi tujuan kebajikan, derma atau sedekah. Aktiviti ini hendaklah berjalan mengikut lunas undang-undang.

Berdasarkan Seksyen 106, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis, membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.

Setiap pemohon dan penerima kebenaran tersebut wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan antaranya seperti berikut:

1. Tidak dibenarkan membuat pungutan khairat di tempat-tempat awam seperti dari rumah ke rumah, pusat-pusat membeli belah, pasar-pasar malam, restoran-restoran dan sebagainya;

2. Kutipan hendaklah dipohon terus kepada individu-individu tertentu yang berminat untuk menderma contohnya seperti tokoh-tokoh korporat, pejabat-pejabat kerajaan atau swasta;

3. Hanya individu yang diberi kebenaran sahaja yang dibenarkan menjalankan pungutan dengan menggunakan kad kebenaran yang dibekalkan dan mengeluarkan resit penerimaan ke atas setiap wang yang dipungut.

Mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin mengajak masyarakat supaya mengambil panduan seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ganjaran yang besar di sisi Allah SWT disediakan bagi orang yang sentiasa bersedekah.

2. Adalah haram dan berdosa bagi sesiapa yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan dan memperdaya orang ramai yang ingin bersedekah.

3. Umat Islam hendaklah bijak mengambil tanggungjawab dan peranan untuk membentuk masyarakat yang baik dan sentiasa prihatin membantu umat Islam yang lain.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (ali-Imran : 133-134).
Tags: khutbah, sedekah
Subscribe

Posts from This Journal “sedekah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments