mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Bijak Mengurus Kewangan Peribadi

Petikan Khutbah Jumaat 11 Oktober 2019M / 12 Safar 1440H: JAIS

Bijak Mengurus Kewangan Peribadi

Harta merupakan amanah daripada Allah SWT untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Ia bukanlah untuk disia-siakan sehingga terjadi pembaziran, salah guna kepada perkara yang haram, rasuah dan sebagainya.
jais.jpg
Ilmu pengurusan kewangan adalah merangkumi perancangan perbelanjaan, membuat simpanan atau menabung, mengambil pembiayaan untuk keperluan kehidupan, mengambil perlindungan takaful, berzakat, merancang persaraan, bersedekah, pembahagian hak-hak waris termasuklah harta anak-anak yatim dan sebagainya.

Antaranya kemahiran membuat keputusan yang betul adalah mempunyai kesedaran terhadap pentingnya mengurus kewangan dengan berhemah dan bijaksana, meningkatkan ilmu pengetahuan tentang pembiayaan dan risikonya, berwaspada dengan sindiket penipuan kewangan dan mempunyai keyakinan dan sikap yang betul untuk mengurus kewangan dengan baik.

Sebagai permulaan, antara langkah-langkah yang wajar kita lakukan adalah:

Pertama: Kita hendaklah menyusun semula kewangan peribadi dengan memperbaiki perbelanjaan dan menentukan gaya hidup kita. Jika ia melebihi dari kemampuan kita, maka kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting.

Kita perlu mengimbangi antara keperluan dan keinginan bak kata pepatah, “ukur baju dibadan sendiri”.

Lantaran itu Islam menganjurkan sikap bersederhana dan berhemah dalam mengurus perbelanjaan.

Hadis daripada Abu Darda Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Daripada kebijaksanaan seorang lelaki ialah sikapnya yang berhemah dalam urusan kehidupan”. (Riwayat Ahmad)

Kedua: kita hendaklah mengamalkan budaya menyimpan atau menabung kerana ia adalah persediaan sekiranya berlaku hal-hal kecemasan dan diluar jangka

Ketiga: Elakkan diri dari mengambil pembiayaan yang tidak perlu dan membazir lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara-perkara yang tidak penting.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 67: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Jika perlu untuk mengambil pembiayaan atau berhutang, berikhtiarlah untuk melunaskan segala pembiayaan atau hutang itu dalam tempoh yang ditentukan dan tidak menambahkan bebanan kewangan dengan hutang baru yang tidak mendesak.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berhutang dengan manusia dengan berniat membayarnya, Allah memudahkanya, dan sesiapa yang berhutang dengan niat enggan membayarnya, Allah Taala akan membinasakannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama menghayati intipati daripada khutbah yang dibacakan seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa setiap harta yang dikurniakan akan dipersoalkan di hadapan Allah.

2. Umat Islam hendaklah cerdik dan bijaksana mengurus harta yang telah diamanahkan kepadanya.

3. Umat Islam wajib berurusan, menabung dan menyimpan di institusi-institusi kewangan Islam yag patuh syariah.

4. Umat Islam hendaklah mensyukuri nikmat harta, rezeki dan sumber pendapatan yang dikurniakan dengan menginfakkan sebahagiannya ke jalan Allah.

“Isa Ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Mu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki.” (al-Maidah : 114)
Tags: bijak, kewangan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kewangan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments