mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Membina Masyarakat Bermaruah

Petikan Khutbah Jumaat 18 Oktober 2019M/ 19 Safar 1441H JAWI

Membina Masyarakat Bermaruah

Sejarah perlakuan jenayah rasuah bermula sejak awal kehidupan manusia bermasyarakat dan bertamadun. Jenayah ini sentiasa berkembang selari dengan kemajuan dan kehidupan masyarakat.

jawi_logo.jpgTidak ada negara yang boleh mendakwa bebas daripada rasuah walaupun bilangan kes yang sedikit. Sejarah juga turut membuktikan jatuhnya kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka adalah disebabkan jenayah rasuah yang berleluasa pada ketika itu.

Rasuah sememangnya haram dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orangorang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Rasulullah SAW turut memberi peringatan berkaitan jenayah rasuah ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi RH daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : "Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan.”

Rasuah terjadi dengan dua perkara.

Pertama, pemberian untuk sogokan dalam bentuk nyata atau berselindung; kedua, tujuan pemberi dan penerima rasuah.

Imam Malik Rahimahullah di dalam kitab al-Muwatta’ telah menceritakan kisah ketika Abdullah bin Rawahah RA diutuskan ke Khaibar untuk menilai hasil kurma di daerah itu. Rasulullah SAW memutuskan supaya hasil kurma itu dibahagi kepada dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri dan yang separuh lagi untuk kaum muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah RA sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi Khaibar datang membawa pelbagai perhiasan dan berkata kepadanya : “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh."

Abdullah bin Rawahah RA menjawab dengan tegas:"Wahai kaum Yahudi! Demi Allah, kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawapan tersebut Yahudi itu berkata, “Kerana sikap inilah langit dan bumi masih kekal terpelihara.”

Sebab berlakunya jenayah rasuah ialah kerana hidup bertuhankan nafsu, tidak takutkan azab Allah SWT dan hilangnya sifat Ihsan dalam diri.

Sesungguhnya sifat Ihsan sangat penting dalam membentuk peribadi muslim sebenar sehinggakan ia disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH daripada Abu Hurairah RA, sabda Baginda SAW : “Sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah- olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Sifat Ihsan ini merupakan teras dalam membina sebuah masyarakat yang bermaruah, kerana ianya akan menimbulkan rasa takut kepada Allah SWT dengan merasa setiap perbuatannya diawasi oleh-Nya, samada ketika berseorangan atau bersama orang lain. Malah dia juga akan merasa takut untuk melakukan perbuatan keji dan tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, ponteng kerja, dan perbuatan negatif yang lain.

Ingatlah amaran Allah SWT di dalam Surah al-Anfal ayat 27 :“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi beberapa kesimpulan, antaranya :

Pertama : Masyarakat bermaruah adalah masyarakat yang berintegriti, berakhlak mulia, beramanah dan bencikan rasuah.

Kedua : Tanamkan dalam jiwa sifat ihsan sebagai pendorong dalam melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Ketiga : Jadilah masyarakat prihatin yang menyokong usaha-usaha pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 105: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
Tags: khutbah, maruah, rasuah
Subscribe

Posts from This Journal “maruah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments