mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Badan Sihat Hidup Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat  25 Oktober 2019M/ 26 Safar 1441H JAWI

Badan Sihat Hidup Sejahtera

Kajian Kesihatan Morbiditi Dan Kesihatan Kebangsaan mendapati 17.5% bersamaan dengan 3.5 juta penduduk Malaysia berusia lebih 18 tahun adalah penghidap diabetis tahap 2.
jawi_logo.jpg
Semuanya berpunca daripada beberapa faktor seperti kurang pengetahuan dan kesedaran tentang kesihatan, pemakanan yang tidak sihat, obesiti atau berat badan berlebihan, sejarah keluarga di samping kurangnya aktiviti fizikal seperti senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Natijahnya ia mendatangkan pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti serangan jantung, kegagalan fungsi buah pinggang, kerosakan saraf dan lain-lain penyakit.

Sesungguhnya kesihatan adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kesihatan yang baik menatijahkan perjalanan kehidupan yang berkualiti dan melambangkan kesejahteraan hidup.

Islam amat menitikberatkan amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT dari mukmin yang lemah (tidak bertenaga)

Gaya hidup sihat yang dimaksudkan adalah memberikan keutamaan kepada kehidupan yang aktif, mengekalkan kesihatan dan mencegah daripada gejala penyakit.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 60: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Gaya hidup sihat adalah suatu amalan yang dapat membina kekuatan mental dan fizikal kita. Maka sepatutnya kita berusaha untuk melakukan amalan-amalan seperti:

Pertama: Mengamalkan senaman.

Lakukanlah senaman dan bersukan mengikut kaedah yang bersesuaian dengan kemampuan diri kita. Aktiviti yang dilakukan tidak mengikut kaedahnya dikhuatiri akan mendatangkan kecederan pada fizikal. Luangkan aktiviti ini bersama keluarga kerana ia satu pengalaman yang menyeronokkan kepada anak-anak di samping satu cara untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Kedua: Makanan yang seimbang.

Kurangkanlah pengambilan makanan ringan, makanan segera dan minuman berkarbonat kerana berisiko membawa penyakit-penyakit berbahaya jika diambil secara berlebihan. Pastikan kita mendapat makanan yang seimbang dan sederhana dengan mengurangkan pengambilan gula, lemak dan garam dalam makanan. Di samping itu, bagi umat Islam makanan yang baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat yang ada bahkan penekanan juga daripada sumber yang halal dan penyediaannya mengikut kehendak syarak.

Ketiga: Menjalani pemeriksaan doktor

Kita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan penyakit-penyakit berbahaya seperti jantung, diabetis, tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal. Dengan cara itu langkah pemulihan dapat dilakukan dengan segera. Akhirnya dapat mengurangkan risiko kita mendapat pelbagai penyakit dan kehidupan menjadi lebih ceria dan baik.

Keempat: Rehat yang mencukupi

Tidur adalah waktu untuk kita merehatkan minda dan fizikal setelah penat melakukan pelbagai aktiviti dan pergerakan. Kita perlu mendapatkan rehat yang cukup untuk mengembalikan semula tenaga yang telah digunakan. Posisi tidur yang paling baik adalah mengikut sunnah Rasulullah SAW iaitu tidur mengiring sebelah kanan.

Bersempena dengan bulan Sukan Negara, marilah kita mengambil peluang ini untuk lebih menghargai kehidupan dan keluarga kita dengan memelihara dan menjaga kesihatan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak kita untuk melihat tiga perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:

Pertama: Nikmat kesihatan adalah antara nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah SWT kepada semua manusia.

Kedua: Gaya hidup sihat dapat dipupuk dengan menjaga pemakanan, mengamalkan sukan, senaman, menjalani pemeriksaan kesihatan dan rehat yang mencukupi.

Ketiga: Mengelakkan diri daripada penyakit adalah lebih utama daripada mengubati penyakit.

Firman Allah SWT di dalam surah Al Baqarah ayat 247: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”
Tags: badan, hidup, khutbah, sejahtera, sihat, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sihat” Tag

  • Khutbah Jumaat: Minda Sihat Membawa Berkat

    Petikan Khutbah Jumaat: 26 Oktober 2018 / 17 Safar 1440 JAKIM Minda Sihat Membawa Berkat Kesihatan mental adalah keadaan sejahtera, sempurna…

  • Umat terbaik adalah umat yang sihat

    BERHIBUR dan berekreasi adalah fitrah semula jadi manusia yang bertujuan menenangkan fikiran, mendamaikan jiwa, merehatkan rohani, sekali gus…

  • Puasa itu sihat & menyihatkan

    IBADAH puasa memberikan banyak keistimewaan. Antaranya dapat merehatkan sistem penghadaman dan pernafasan. Sebelas bulan sebelum ini, mulut,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments