mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Memperkasa Zakat, Wakaf Dan Sedekah, Membangun Ummah

Petikan Khutbah Jumaat  1 November 2019M/ 4 Rabiulawal 1441H JAKIM

Memperkasa Zakat, Wakaf Dan Sedekah,Membangun Ummah

Islam menganjurkan umatnya memiliki harta. Harta yang diperoleh adalah amanah daripada Allah SWT. Islam juga menitikberatkan pengurusan harta dalam aspek pengagihan dan perbelanjaan kerana ia sangat memberi kesan kepada kesempurnaan ibadah dan kebajikan sosial golongan yang memerlukan. Malah ia juga menjadi saham kebaikan di akhirat nanti.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77: Bermaksud : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Pastikan harta kekayaan umat Islam dapat diagih dan disalurkan kepada golongan yang memerlukan serta memelihara kelestarian ekonomi, maka Allah SWT telah mensyariatkan ibadah zakat, wakaf dan sedekah bagi manfaat umat Islam dalam sesebuah negara

Zakat adalah rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dari segi harta. Zakat telah ditetapkan oleh Allah dengan matlamat utama membantu golongan asnaf.

Sesungguhnya zakat sangat penting dalam menyucikan harta dan membangunkan rohani mereka yang melaksanakannya.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 60:“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Zakat adalah satu perkongsian. Golongan kaya dan berkemampuan menghulurkan harta kepada golongan asnaf menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam. Semakin kaya sesebuah masyarakat, semakin meningkat kutipan zakat.

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP) adalah antara agensi mengurus zakat di Malaysia. Agihan zakat secara langsung juga dibuat menerusi 28 skim bantuan zakat yang membantu asnaf daripada segala aspek merangkumi keperluan asasi, perumahan, pendidikan, perniagaan, kebajikan dan dakwah. Bantuan ini berjalan sepanjang tahun dan bukan pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Islam juga menggalakkan ibadah wakaf. Ia disyariatkan sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pemberian harta pada jalan Allah.

Wakaf boleh ditakrifkan sebagai pemberian harta secara sukarela untuk digunakan oleh orang ramai sama ada berkaitan dengan keperluan agama mahupun keperluan kebajikan dengan manfaat yang berpanjangan.

Firman Allah SWT dr dalam surah Ali Imran ayat 92 : “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Rasulullah SAW pernah mewakafkan tujuh kebun untuk manfaat golongan fakir miskin selepas pulang daripada perang Uhud. Saidina Umar al-Khattab RA pernah mewakafkan tanahnya di Khaibar dan Abu Talhah RA pernah mewakaf kebunnya Bayruha’ yang sangat beliau sayangi. Saidina Uthman bin ‘Affan RA pernah mewakafkan perigi Ar Rumah yang dibeli daripada seorang Yahudi untuk memberi manfaat bekalan air secara percuma kepada penduduk Madinah.

Di Wilayah Persekutuan Pusat Wakaf MAIWP yang ditubuhkan pada Ogos 2014 berperanan untuk mengurus dana wakaf sama ada tunai dan aset serta melaksanakan pembangunan tanah wakaf secara berkesan bagi hasil pulangan yang dapat memberikan impak yang besar terhadap kemajuan ekonomi umat Islam.

Ibadah sedekah juga merupakan salah satu kaedah pengagihan semula kekayaan selain daripada zakat dan wakaf. Sedekah atau infaq telah disebut lebih daripada seratus kali di dalam Al-Quran, bahkan Allah SWT telah menegaskan berkenaan dengannya menerusi

FirmanNya dalam surah alBaqarah ayat 276: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.”

Imam Al-Qurtubi Rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Allah SWT menyusutkan harta diperolehi daripada riba dengan menghilangkan keberkatannya sekalipun harta itu banyak. Manakala Allah SWT mengembangkan harta yang dikeluarkan sedekah dengan cara memberkatinya dan menggandakan pahalanya pada hari akhirat.”

Hulurkanlah sedekah dengan seikhlas hati walaupun tidak tinggi nilainya namun amat bermakna buat insan yang sangat memerlukan. Semoga sedekah yang dihulurkan ini akan memberatkan timbangan amalan kita di akhirat kelak.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah :

Pertama: Harta adalah amanah daripada Allah SWT yang padanya terdapat hak orang lain yang mesti ditunaikan malah ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Kedua: Islam mensyariatkan ibadah zakat, wakak dan sedekah sebagai jalan melepaskan golongan yang tidak berkemampuan daripada belenggu kemiskinan.

Ketiga: Ibadah zakat, wakaf dan sedekah sekiranya digembleng secara kolektif dan strategik akan memberi impak yang besar dalam membangunkan ummah.

Firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 39 :“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hambahambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaikbaik Pemberi rezeki"
Tags: khutbah, sedekah, wakaf, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments