mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Teladani Rasulullah Hayati Sunnah

Petikan Khutbah Jumaat  8 November 2019M/ 11 Rabiulawal 1441H JAWI

Teladani Rasulullah Hayati Sunnah

Kelahiran Nabi Muhammad SAW dan perutusan Baginda SAW sebagai Rasulullah adalah bukti teragung betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada seluruh alam.

jawi_logo.jpgMenerusi kerasulan Baginda SAW, Allah SWT telah menyebarkan petunjuk dan hidayahNya kepada manusia. Malah, khusus buat orang beriman, Allah SWT melipatgandakan rahmatNya dengan perutusan baginda.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Namun, apakah kita benar-benar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan contoh ikutan? Adakah ahli keluarga dan masyarakat kita mengamalkan gaya hidup muslim seperti Nabi SAW dan para sahabat? Lebih mendukacitakan, generasi masa kini hanya sekadar mengenali nama dan mendakwa mencintai Baginda SAW, tetapi tidak pula mengamalkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan.

Allah SWT berfirman menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 31:“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Ingatlah kecintaan kepada Baginda SAW bukan sekadar menzahirkan kemarahan apabila Baginda dihina atau sunnahnya dipermainkan, tetapi kecintaan sebenar adalah dengan sentiasa mengamalkan akhlak mulia dan sunnah yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman menerusi surah al-Ahzab ayat 21 : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan banyak mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”


Antara contoh yang kita boleh teladani dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah sifat rahmah dalam menyantuni ahli keluarga. Meskipun Baginda SAW berada dalam kesibukan sebagai pemimpin umat Islam,

Baginda SAW tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Baginda sentiasa membantu melaksanakan kerja-kerja rumahtangga dan sering berbincang bersama isteri-isteri baginda sebelum membuat sesuatu keputusan.

Baginda bersikap lemah lembut serta sering bergurau senda, tidak mudah marah apatah lagi memukul isteri dan Baginda juga merupakan seorang bapa yang penyayang lebih-lebih lagi terhadap anak perempuan.

Imam al-Tirmizi telah meriwayatkan hadith daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Orang yang terbaik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling baik (perilakunya) terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik dalam kalangan kamu terhadap keluargaku.”

Dalam pergaulan seharian, Baginda SAW tidak pernah mencerca, mengutuk, menghina, dan melaknat golongan yang bukan Islam dalam dakwah Baginda.

Imam Muslim r.h. telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan:“Rasulullah SAW diminta : “Ya Rasulullah, doakan kebinasaan ke atas kaum musyrikin.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi sebagai pembawa rahmat.”

Ungkapan rahmat kepada sekalian alam merangkumi hidayah, kebaikan dan keadilan Islam ke seluruh alam. Setiap makhluk akan merasai kesempurnaan rahmat ini tanpa ada sesuatu pun yang tersisih daripada limpahan kasih tersebut.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita hendaklah bersyukur dengan anugerah Islam dan iman hasil pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan ajaran Islam.

Kedua: Kita hendaklah berusaha bersunguh-sungguh meneladani sirah Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah yang telah ditunjukkan Baginda.

Ketiga: Kita dituntut menyantuni seluruh manusia termasuk yang bukan Islam dengan akhlak baik bagi mempamerkan kemuliaan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 105-107: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz; “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.” Sesungguhnya al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadah (kepada Allah dengan berilmu). Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Tags: khutbah, rasulullah, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “rasulullah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments