mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Enam KPI tarbiah Ramadan

Didikan sebulan jadi momentum kebaikan, perubahan

Kini umat Islam sudah berada dalam fasa terakhir Ramadan. Eloklah kiranya mereka bermuhasabah apakah dengan menjalani ibadah puasa Ramadan itu mereka dapat merasai kesan tarbiahnya? Jika mereka sudah dapat merasai kesannya, apakah pula kesannya itu?

Paling tidak, terdapat enam kesan dapat dilihat dalam kehidupan umat Islam selepas menjalani ibadah puasa Ramadan. Keenam-enam kesan ini pula adalah petunjuk prestasi utama (KPI) umat Islam hasil daripada tarbiah Ramadan.

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

Perangi hawa nafsu

Pertama, jiwa mereka bertambah kuat. Dalam hidup, manusia sering didominasi hawa nafsunya. Dengan itu, manusia mudah menuruti apa saja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik dan mengganggu serta merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah supaya memerangi hawa nafsu. Perangi di sini bermaksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan langsung terhadap sesuatu yang bersifat keduniaan.

Sekiranya dalam peperangan memerangi hawa nafsu ini manusia mengalami kekalahan, tidak mustahil mereka akan mengalihkan pengabdiaannya iaitu daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Masalah ini ada dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

Kedua, mereka sentiasa menginginkan perkara kebaikan dan tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Dengan berpuasa seseorang insan itu dididik supaya sentiasa memiliki keinginan yang tinggi kepada kebaikan, walaupun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh pelbagai halangan atau kesukaran. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar.

Keempat, seseorang Muslim akan mudah bersyukur dengan kenikmatan diperolehnya. Dalam hidup ini, sebenarnya sudah terlalu banyak kenikmatan yang Allah SWT kurniakan kepada manusia, tapi ramai pula dalam kalangan manusia yang tidak pandai mensyukuri.

Jika seseorang manusia itu memperhatikan dan menilai segala kenikmatan yang telah diperolehnya, sebenarnya dia sudah sangat beruntung berbanding orang lain yang tidak memperoleh sesuatu seperti yang diperoleh olehnya ataupun orang lain memperoleh sesuatu dengan penuh kesukaran berbanding dirinya.

Kelima, seseorang Muslim akan sentiasa mengingati dan merasakan penderitaan ditanggung orang lain. Merasa lapar dan dahaga juga memberikan keinsafan kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang ditanggung umat Islam di sesetengah tempat yang tidak cukup bekalan makanan dan minumannya.

Bersimpati pada umat Islam lain

Dari sini puasa akan mendidik kita supaya sentiasa bersimpati kepada umat Islam lain yang sedang berdepan dengan pelbagai penderitaan. Ada yang hingga kini masih belum selesai, seperti penderitaan umat Islam di Syria, Palestin, Rohingya dan sebagainya.

Keenam, seseorang Muslim sentiasa berada pada tahap membanggakan meskipun berada pada bulan selain Ramadan. Maksudnya, mereka terus menerus (istiqamah) melakukan amalan-amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan seperti terus bertadarus al-Quran, tidak tinggalkan solat malam, perbanyakkan solat sunat, sentiasa memberikan sedekah dan membantu golongan yang tidak berkemampuan, sentiasa berzikir, sentiasa menjaga lidah, mata dan telinga, berpuasa sunat Syawal, berpuasa Isnin dan Khamis dan sebagainya.

Amat diyakini dengan cara sebegini seseorang Muslim itu dapat mengekalkan momentum kebaikan dan perubahan yang diperoleh hasil daripada tarbiah Ramadan.

Rumusannya, dengan adanya keenam-enam kesan ini pada diri setiap umat Islam, sudah cukup untuk menilai secara kualitatif prestasi dan kejayaan yang dicapai oleh mereka hasil daripada pendidikan Ramadan selama sebulan.

INFO: 6 KPI Tarbiah Ramadan

Jiwa bertambah kuat
Sentiasa menginginkan perkara kebaikan
Tidak mudah berputus asa
Mudah bersyukur dengan kenikmatan diperoleh
Sentiasa mengingati dan merasakan penderitaan ditanggung orang lain
Istiqamah melakukan amalan-amalan baik.



Sumber: Mohd Shukri Hanapi Berita Harian Online Agama Selasa , 14 Ogos 2012, 25 Ramadan 1433 H
Tags: ramadhan, syawal
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments