mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Barakah Yang Hilang

Petikan Khutbah Jumaat 22 November 2019M / 25 Rabiulawal 1441H: JAIS

Barakah Yang Hilang

Harta yang mencukupi adalah antara punca kesejahteraan hidup. Kecukupan harta itu sangat penting kerana itu tanda kita diberkati oleh Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini jais.jpgindah dan manis. Barangsiapa mengambilnya dengan jiwa yang pemurah, ia akan diberkati pada hartanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Ramai orang merasa rungsing dengan isu harta. Antara keluhan yang sering kita dengar ialah, pendapatan yang tidak pernah cukup. Siang malam bekerja mencari rezeki, namun masih juga tidak cukup. Hartanya juga sering rosak. Anak isteri pun selalu sakit. Semuanya memerlukan duit.

Lalu, apakah segala kerisauan ini mampu dihuraikan? Apakah di sini ada kaitannya dengan isu keberkatan?

Barakah itu merujuk kepada kebaikan yang banyak. Ia bertambah daripada keadaan sebelumnya. Ia juga berterusan dan tidak terputus.

Barakah juga merujuk kepada rezeki dan kenikmatan yang diberikan Allah SWT yang memberikan kebaikan yang banyak kepada kita.

Bagi menjamin keberkatan dalam hidup, sama ada dalam keluarga, harta mahu pun kerjaya, renunglah firman Allah SWT dalam surah al-A’raff ayat 96: “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa syarat utama untuk meraih keberkatan ialah beriman dan bertakwa kepada-Nya dengan sempurna.

Sesungguhnya di antara ciri-ciri orang yang beriman itu ialah, mereka sangat taat kepada perintah Allah SWT. Mereka mendengar arahan Allah SWT dan melakukannya tanpa sebarang persoalan lagi.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 36: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Ketaatan dan kepatuhan dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT, itulah bukti keimanan. Orang yang kuat iman dan taat, merekalah orang yang bertakwa. Lalu, keberkatan pun akan mendatangi mereka. Sama seperti lebah. Ia hanya akan mendatangi bunga yang masih bermadu di tangkainya

Salah satu ciri orang bertakwa, mereka amat menjaga kesucian hartanya. Mereka tidak membiarkan hartanya bercampur dengan milikan orang lain.

Allah SWT menyatakan lagi dalam surah al-Ma’arij, ayat 24 – 25:“Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);

Menurut Imam as-Suyuthi, ‘haqqun maklum’ (hak yang termaklum) itu bermaksud zakat. Maka, sedar atau tidak, di dalam harta dan pendapatan kita, ada ‘zakat’ yang wajib kita keluarkan. Jika tidak dikeluarkan, maka kita sengaja membiarkan hak orang lain itu, iaitu hak asnaf bercampur dengan harta kita. Akibatnya, tanpa sedar kita pun menggunakannya.

Sesungguhnya membersihkan harta kita daripada percampuran dengan hak asnaf itu adalah satu kewajipan. Ia sangat mudah sebenarnya, iaitu dengan menunaikan zakat.

Dengan zakat juga, kita mendapat banyak manfaat dan kebaikan. Antaranya adalah:

Pertama, zakat dapat menyuburkan kekayaan kita hingga terus berkembang dan mengelakkan pemberinya daripada menjadi miskin.

Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:“Harta tidak akan berkurang dengan sedekah (sebaliknya terus berkembang).” (Riwayat Muslim).

Kedua, zakat dapat mengelakkan kematian yang buruk dan juga mengelakkan kemurkaaan Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:“Sesungguhnya sedekah (termasuk zakat) itu (dapat) memadamkan kemurkaan Allah dan menolak kematian yang buruk.” (Riwayat al-Tirmizi).

Ketiga, zakat dapat memberikan rasa kelapangan hati dan terselamat dari perasaan gundah gulana.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:“Perumpamaan orang yang bakhil (kedekut) dengan orang yang bersedekah (termasuk berzakat) seperti dua orang yang memiliki baju besi, yang bila dipakai (maka) menutupi dada sehingga ke pangkal pahanya. Orang yang bersedekah, disebabkan sedekahnya, dia merasakan baju besinya besar dan longgar sehingga tidak menjerut kulitnya. Sehinggalah hujung jarinya tidak terlihat dan baju besinya tidak meninggalkan bekas pada kulitnya. Sedangkan orang yang bakhil, disebabkan kebakhilannya dia merasakan baju besinya sangat ketat melekat di badannya. Dia berusaha untuk melonggarkannya namun tidak berjaya.” (Riwayat al-Bukhari).

Demi memastikan umat Islam di Selangor dapat menunaikan zakat dengan mudah, maka pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mewujudkan pelbagai mekanisme pembayaran.

Sama ada melalui internet, potongan gaji, kad kredit dan sebagainya. Kemudiannya, semua kutipan zakat yang hanya diambil daripada orang Islam itu, disalurkan dengan segera kepada asnaf yang lapan dari kalangan orang Islam iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

DYMM Sultan Selangor, bahawa pengagihan zakat di negeri Selangor hanyalah kepada orang-orang Islam sahaja, khususnya kepada fakir dan miskin. Manakala agihan zakat kepada bukan Islam, dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulu buhum.

Mengakhiri khutbah pada kali ini:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa harta yang halal dan berkat sahaja akan menjamin seseorang itu dapat menikmati kehidupan yang diredai Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa antara punca hilangnya keberkatan dalam harta adalah apabila berlakunya pengabaian menunaikan zakat.

3. Umat Islam hendaklah berusaha menjadikan dirinya seorang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT yang merupakan syarat utama memperoleh keberkatan dalam hidupnya.

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (al-Baqarah : 265)

Tags: barakah, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “barakah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments