mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Orang Yang Bersama Rasulullah SAW Dalam Syurga

Petikan Khutbah Jumaat 29 November 2019M / 02 Rabiulakhir 1441H: JAIS

“Orang Yang Bersama Rasulullah SAW Dalam Syurga”

Dr Mehran Mahir Othman dalam satu makalah ilmiahnya telah menyenaraikan lapan golongan orang yang beriman yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak.

Antara golongan yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak ialah mereka yang sentiasa mengikuti dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya dalam kehidupan mereka. Mereka yang memastikan seluruh kehidupannya bertepatan dengan jais.jpgSyariat Allah SWT dan sunnah Nabi SAW.

Imam al-Tabarani dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhu bahawa seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kebimbangannya tidak dapat lagi bersama baginda dalam syurga kelak.

Berkaitan dengan kebimbangan ini maka Allah SWT menurunkan ayat 69 daripada surah alNisa’. Firman Allah SWT:“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para Siddqin, orang-orang yang mati syahid, dan orangorang saleh, dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”

Golongan yang kedua yang akan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga nanti ialah mereka yang cinta kepada Rasulullah SAW. Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta yang membawa seseorang itu mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan hariannya.

Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallhu Anhu bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan bersama dengan sesiapa yang engkau cintai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Golongan lain yang juga akan dapat mendampingi Rasulullah SAW di akhirat kelak ialah orang yang banyak mendirikan solat. Solat yang didirikan itu bukan terbatas kepada solat-solat fardu sahaja, bahkan ditambah dengan pelbagai solat sunat yang disyariatkan sama ada malam ataupun siang.

Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami pernah bermalam bersama Rasulullah SAW dan membantu menyediakan air wuduk dan keperluan Baginda. Rabi’ah Radhiallahu Anhu hanya memohon satu perkara sahaja daripada Rasulullah SAW iaitu memohon untuk bersama Rasulullah SAW dalam syurga kelak.

Baginda bersabda: “Oleh itu bantulah aku untuk mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud yakni solat.” (Riwayat Muslim).

Umat Islam juga diperintahkan supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Antara doa yang ma’thur yang diamalkan oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu ialah seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu dengan doanya: “Ya Allah aku memohon kepada Engkau keimanan yang tidak akan murtad, kenikmatan yang tidak terputus dan bersama Nabi Muhammad SAW di puncak Syurga al-Khuldi.” (Riwayat Ahmad)

Seseorang yang sentiasa menghiasi pergaulan hariannya dengan akhlak yang mulia dan terpuji juga adalah antara golongan yang akan mendapat kedudukan yang hampir dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat kelak.

Sebuah hadis daripada Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dari kalangan kamu dan orang yang paling hampir kedudukannya dengan aku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Begitu juga orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikir selawat ke atas Nabi SAW akan mendapat kemuliaan dengan mendapat syafa’at dan kedudukan yang istimewa bersama Nabi SAW pada hari kiamat kelak.

Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling utama bersamaku pada hari kiamat kelak ialah orang paling banyak berselawat ke atasku.” (Riwayat al-Tirmizi).

Antara orang yang dijanjikan dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam syurga pada hari akhirat kelak ialah orang yang menjaga dan menguruskan kehidupan anak yatim. Memberi kasih sayang kepada mereka, memastikan mereka membesar dengan mendapat pendidikan yang sempurna sehingga mereka dapat hidup berdikari.

Sahal bin Sa’ad Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku dan orang yang menjaga anak yatim dalam syurga nanti seperti ini. Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah serta membuka-buka kedua-duanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita mengambil pengajaran dan panduan daripada tausiah berikut:

1. Umat Islam mestilah beriman dan yakin dengan ganjaran syurga yang disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang yang beriman dan beramal dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa menanamkan kerinduan untuk bersama-sama Rasulullah SAW dalam syurga pada hari kiamat kelak.

3. Ganjaran berdampingan dengan Rasulullah SAW di hari kiamat kelak tak akan dapat dicapai kecuali dengan melaksanakan semua perintah Allah SWT dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (ali-Imran : 31)
Tags: khutbah, rasulullah, syurga
Subscribe

Posts from This Journal “rasulullah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments