mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Kanak-Kanak Pewaris Negara

Petikan Khutbah Jumaat 29 November 2019M/ 2 Rabiulakhir 1441H JAWI

Kanak-Kanak Pewaris Negara

Kanak-kanak adalah anugerah dan amanah Allah SWT. Kita dipertanggungjawab memastikan hak dan kebajikan mereka sentiasa terjaga kerana mereka bakal pewaris yang akan membangunkan syiar Islam dan memacu pembangunan negara pada masa hadapan.

Secara umumnya, di dalam Islam kanak-kanak merujuk kepada seseorang yang belum baligh. Ia ditentukan dengan faktor tabi’i atau jawi_logo.jpghad umur. Namun dalam konteks Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dan takrifan ini turut digunakan di peringkat antarabangsa.

Walau apa jua takrifan yang digunakan, perlindungan dan perkembangan seseorang kanak-kanak adalah bergantung kepada orang dewasa

Firman Allah SWT dalam surah al-Syu’ara’, ayat 132 hingga 135:“Dan bertaqwalah kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepada kamu binatang-binatang ternak, anak-anak, kebun-kebun dan mata air. Sesungguhnya aku (Nabi Hud) takut kalian akan ditimpa azab pada hari kiamat.”

Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa segala anugerah Allah SWT kepada kita termasuk kanak-kanak adalah ujian kepada kita.

Hak-hak mereka mestilah ditunaikan dan diberikan perhatian sewajarnya. Islam amat menitik beratkan perihal kemaslahatan kanak-kanak.

Imam Ahmad r.h telah meriwayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Orang yang tidak menunjukkan perasaan belas kasihan terhadap kanak-kanak kami dan tidak tahu menunaikan hak orang-orang tua kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Kanak-kanak juga mempunyai hak yang sama dengan golongan dewasa yang perlu dihormati seperti hak kerahsiaan peribadi, tidak dimalukan di khalayak dan tidak didera fizikal, mental juga emosi.

Islam merupakan sebuah agama yang sejahtera. Ia melarang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak.

Penderaan kanak-kanak sama ada dalam bentuk fizikal, emosi dan seksual adalah suatu bentuk pencabulan yang serius terhadap hak mereka.

Perlindungan ke atas kanak-kanak tidak akan dapat dipenuhi selagi kita tidak menyelesaikan pelbagai bentuk penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap mereka.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia berkenaan dengan kes kesalahan penderaan kanak-kanak pada tahun 2018, sebanyak 281 kes melibatkan kanak-kanak lelaki dan 175 kes kanak-kanak perempuan.

Majoriti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan adalah antara umur 1 hingga 7 tahun dengan sebanyak 207 kes. Malah, baru-baru ini kes-kes yang melibatkan penderaan sehingga membawa kepada kematian dan kes-kes pembuangan bayi turut menjadi barah dalam masyarakat.

Mengenai penjagaan kesihatan kanak-kanak di Malaysia, beberapa laporan antarabangsa telah dikeluarkan berkenaan masalah kanak-kanak di Malaysia yang kurang nutrisi.

Menurut Laporan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja antara usia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut. Manakala berdasarkan Kajian Nutrisi Kanak-Kanak Malaysia, satu daripada tiga keluarga di Malaysia mengalami kekurangan nutrisi penting. Ia jelas menunjukkan bahawa isu kanak-kanak di Malaysia yang mengalami kekurangan nutrisi agak serius.

Menurut Artikel 24 Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak telah menyatakan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan standard penjagaan kesihatan dan perubatan yang paling tinggi dan menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakan sistem rawatan terbaik untuk mereka.

Isu perkahwinan kanak-kanak di Malaysia masih diperdebatkan sehingga hari ini. Walaupun dalam Islam membenarkan perkahwinan kanak-kanak namun ibu bapa harus melihat apa yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka.

Selain itu, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga menyatakan bahawa komplikasi dan kematian yang lebih tinggi akibat daripada kehamilan melibatkan remaja perempuan di antara 10 hingga 19 tahun berbanding wanita yang berumur 20 hingga 24 tahun.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kanak-kanak adalah anugerah Allah SWT sebagai zuriat dan penyambung keturunan kita. Mereka juga bakal mewarisi kepimpinan negara.

Kedua: Kanak-kanak berhak mendapat penjagaan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya.

Ketiga: Pemimpin dan masyarakat turut memainkan peranan yang besar dalam membela dan melindungi kanak-kanak.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tur, ayat 21: “Dan orang-orang yang beriman serta anak cucu mereka yang menuruti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan mereka dengan zuriat mereka, dan Kami tidak mengurangkan sedikit pun (pahala) daripada amalan mereka. Setiap individu terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
Tags: kanak-kanak, khutbah, pewaris
Subscribe

Posts from This Journal “kanak-kanak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments