mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga

Petikan Khutbah Jumaat 13 Disember 2019M / 16 Rabiulakhir 1441H: JAIS

Keutamaan Menjaga Institusi Keluarga

Dalam institusi keluarga, ibu bapa hendaklah berperanan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan tegas dan berani.

jais.jpgJika mereka mendapati terdapat tanda-tanda atau gejala yang membimbangkan berlaku dalam rumah tangga seperti gangguan seksual atau perbuatan curang pasangan hendaklah dicegah serta merta.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Institusi keluarga yang segar dengan amalan tegur menegur, nasihat menasihati dan mencegah kemungkaran yang berlaku akan beroleh rahmat Allah SWT.

Hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Isu-isu keruntuhan akhlak yang berlaku dan dilaporkan akhir-akhir ini semakin membimbangkan. Bermula dengan membiarkan kelakuan tidak bermoral, ketagihan melayari laman web lucah, akhirnya membawa ke perbuatan yang lebih hina seperti zina, sumbang mahram, dan gejala yang sering berlaku dalam rumahtangga atau disebut sebagai “Haruan Makan Anak”

Seorang bapa adalah ketua, pelindung, tempat bertaut, tempat penyubur kasih sayang dan pemimpin tangan keluarga ke syurga. Malang seribu kali malang, jika seorang bapa sanggup mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri.

Malah ada yang enggan memberi nafkah dan kasih sayang yang diharapkan, bahkan terjebak dengan pujuk rayu syaitan sehingga tergamak meragut maruah anak sendiri, melacurkan isteri, merosakkan nasab, menjadikan isteri atau anak sebagai keldai dadah dan melakukan kekerasan fizikal terhadap isteri dan anak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Institusi keluarga cemerlang akan berjaya menghasilkan generasi baru muslim yang unggul. Sebaliknya, jika keadaan keluarga porak peranda, harubiru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya tidak akan mampu melahirkan generasi muslim yang diharapkan.

Firman Allah SWT dalam surah alSyuaraa’ ayat 214: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa panduan berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa institusi keluarga adalah satu amanah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dijaga dengan sebaik-baiknya.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi sebarang perlakuan keji yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

3. Umat Islam hendaklah memperkasa institusi keluarga masingmasing dengan aktiviti yang bermanfaat untuk memperkukuhkan ikatan kasih sayang.

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersamasama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteriisteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ghafir : 8)
Tags: keluarga, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments