mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Zakat, Ladang Dunia Untuk Akhirat

Petikan Khutbah Jumaat 20 Disember 2019M / 23 Rabiulakhir 1441H: JAIS

Zakat, Ladang Dunia Untuk Akhirat

Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bercucuk tanam yang merupakan ladang bagi akhirat. Akhirat jualah tempat kita menuai hasilnya daripada apa yang kita telah tanam.

jais.jpg
Harta dan kekayaan merupakan salah satu ujian kehidupan di dunia ini. Seiringan dengannya, ia juga sebagai nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita.

Allah SWT memerintahkan supaya harta tersebut dizakatkan kepada para asnaf, dinafkahkan kepada ahli keluarga dan dikongsikan dengan orang lain.

Disinilah kualiti iman seseorang insan itu diuji samaada mereka taat setia untuk patuh dengan perintah Allah SWT atau engkar terhadap-Nya.

Tambahan pula apa yang dizakatkan itu tidaklah banyak sangat. Ibarat RM2.50 daripada RM100.00. Maka RM97.50 lagi adalah menjadi hak kita untuk bebas dibelanjakan.

Bagi insan yang taat, Allah SWT menjanjikan laba keuntungan yang besar untuk kesenangan hidup yang kekal abadi di akhirat. Setiap sen yang kita zakatkan menjamin penyuburan dan kesucian harta yang kita miliki.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Taubah, ayat 103:“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

FirmanNya dalam surah Ali Imran, ayat 133-134: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Bagi orang Islam yang sombong, ingkar serta enggan berzakat, Allah SWT memberikan amaran keras berupa seksaan dan azab yang amat pedih dalam api neraka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 34 dan 35: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Amaran keras ini diperkukuhkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.” (Riwayat al-Bukhari)

Untuk makluman hadirin sekalian, sehingga bulan Oktober 2019, jumlah agihan zakat yang telah dilaksanakan kepada seluruh asnaf yang layak ialah sebanyak RM619.4 juta, manakala jumlah kutipan zakat dalam tempoh yang sama meningkat kepada sebanyak RM585.3 juta.

Sehingga kini, seramai 60,462 keluarga fakir miskin menerima bantuan zakat secara berterusan di LZS.

Walau bagaimanapun, sehingga Oktober 2019, jumlah umat Islam yang menunaikan zakat di LZS hanyalah 18.13% daripada sejumlah 1.5 juta umat Islam yang dianggarkan layak menunaikan zakat di negeri ini.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah mematuhi kewajipan berzakat sebagai satu perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah takut kepada ancaman Allah SWT sekiranya enggan dan ingkar menunaikan kewajipan berzakat.

3. Umat Islam hendaklah menunaikan zakat melalui Lembaga Zakat Selangor untuk memastikan kutipan dan agihannya kepada asnaf-asnaf secara berkesan.

4. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa berzakat akan menyucikan dan menyuburkan harta di dunia, dan mendapat hasil yang lumayan di akhirat kelak.

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendaki-Nya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (al-Syura : 20)
Tags: akhirat, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments