mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amalan saat akhir jadi penentu

Puasa mereka yang terdahulu daripada kita penuh dengan kekuatan sama ada fizikal ataupun spiritual. Siangnya penuh aktiviti berfaedah, produktif serta kesungguhan luar biasa. Malamnya dipenuhi ibadat khususnya tadarus al-Quran yang diturunkan khas pada Ramadan yang mulia.

Boleh dikatakan keseluruhan Ramadan adalah pengabdian kepada Allah SWT. Kita sedang menghadapi hari-hari penting Ramadan khususnya pada sepuluh terakhir dengan Baginda SAW menampakkan kesungguhan pengabdiannya kepada Allah SWT.

Menghidupkan malamnya ialah beribadat dengan sebelumnya Baginda SAW membahagikan malam kepada dua bahagian iaitu untuk beribadat dan tidur. Namun, menurut Saidatina A’isyah, pada sepuluh terakhir, Baginda menghidupkan seluruh malam untuk beribadat.

Kepentingan sepuluh malam terakhir dapat dilihat kepada andaian Baginda SAW yang pernah menggambarkan bahawa Allah SWT akan mengiktiraf amalan seseorang mengikut saat-saat terakhir yang dilaluinya atau penutup amalannya.

Ahli fikah merumuskan: “Pengiktirafan adalah di penghujung cerita. Baginda SAW pernah berdoa: Ya Allah!, jadikanlah hari-hari terindah dalam hidupku ialah ketika kita bertemu, sebaik-baik umurku ialah ketika berada di penghujungnya dan sebaik-baik amalanku ialah pada saat akhirnya.”



Ambil peluang

Justeru, amalan saat akhir kehidupan seseorang penentu nasib di akhirat kelak. Begitu juga dengan amalan Ramadan dinilai pada noktah penghujungnya.

Baginda SAW sentiasa mengingatkan sahabat supaya tidak leka daripada mengambil peluang malam terakhir ini.

Baginda SAW berpesan: “Sesungguhnya kamu berada di Ramadan yang mulia. Padanya ada malam lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tersasar darinya dianggap terlepas daripada segala kebajikan dan mereka yang lalai daripadanya adalah orang yang amat rugi.” (Hadis Ibnu Majah)

Riwayat daripada Ibnu Umar menyatakan, salah seorang sahabat bermimpi bahawa malam lailatulqadar sudah tiba dan Baginda SAW ditanya bilakah berlakunya. Baginda SAW bersabda: Aku melihat bahawa ia bertepatan pada tujuh malam terakhir. Sesiapa yang ingin mendapatkannya, maka bersedialah pada malam-malam itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, ada juga riwayat daripada Ibnu Umar sendiri menyatakan pada sepuluh malam terakhir tetapi dengan lafaz berbeza.

Sabda Baginda SAW: “Bersedialah pada sepuluh malam terakhir. Jika kamu tidak berupaya atau tidak berkesempatan, berusahalah pada tujuh malam terakhir.” (Riwayat Muslim, Ahmad Tayalisi)



Tiada tarikh sebenar

Semua riwayat lailatulqadar menunjukkan tiada tarikh sebenar melainkan kesahihan pada sepuluh malam terakhir saja. Ulama berpendapat hikmah Baginda SAW dilupakan tarikhnya adalah untuk memberikan kesempatan umat berusaha pada setiap malam Ramadan bagi meraikan kemuliaannya.

Demikian juga Allah SWT merahsiakan saat mustajab doa pada hari Jumaat dan merahsiakan satu namanya yang mustajab dalam doa supaya semua 99 namanya dijadikan zikir dan doa.

Sahabat bernama U’badah berkata: “Baginda SAW keluar untuk memberitahu kepada kami, bilakah malam lailatulqadar, lalu aku disapa dua orang pemuda di jalanan. Akhirnya aku sudah lupa. Semoga ia menjadi kebaikan buat kamu semua.” (Riwayat Bukhari)


Zamanuddin Jusoh Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 14 Ogos 2012, 25 Ramadan 1433 H
Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments