mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Kemuncak Ibadah Menuju Jannah

Petikan Khutbah Jumaat 20 Disember 2019M/ 23 Rabiulakhir 1441H JAWI

Kemuncak Ibadah Menuju Jannah

Ibadah haji adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi muslim yang berkemampuan. Ia menzahirkan kesatuan, kekuatan ummah dan kehebatan individu muslim. Umat Islam dari seluruh dunia, jauh dan dekat, datang dengan pelbagai cara sama ada melalui jalan darat, laut dan udara, menempuh pelbagai halangan dan kesukaran semata-mata memenuhi seruan yang mulia ini.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27: Bermaksud: “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadah Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh’’.

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami pernah menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji iaitu dapat menyucikan jiwanya, menambahkan lagi tingkatan ihsan dalam beribadat di samping menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.

Allah SWT memberikan pahala yang besar dan kemuliaan yang tinggi bagi orang yang melaksanakan ibadah ini dengan penuh keikhlasan. Mereka mengerjakannya sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW dan semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji, dengan tidak melakukan perbuatan keji dan kefasikan, maka ia kembali (dari haji) dalam keadaan suci
seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya”.

Pelaksanaan ibadah haji memerlukan pengorbanan yang besar untuk mengerjakannya. Inilah kesempatan yang diberikan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya menyucikan diri daripada segala dosa dan mempersiapkan diri dengan bekalan menuju Akhirat.

Justeru itu, dalam pelaksanaan ibadah haji ini, umat Islam perlulah memahami konsep istita’ah dalam menunaikan haji.

Syarat-syarat istita’ah yang mesti difahami oleh setiap umat Islam ialah :

Pertama : Berkemampuan dari sudut harta. Perkara yang menjadi keutamaan ialah mempunyai kecukupan harta, bukan sahaja perbelanjaan keperluan diri sebelum, semasa dan selepas haji, bahkan tanggungan nafkah ahli keluarga yang ditinggalkan. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, maka kewajipan tersebut telah gugur.

Kedua : Ada kemudahan kenderaan untuk pergi dan balik samada melalui jalan darat, udara atau laut. Dalam konteks pelaksanaan haji
jemaah malaysia, pengurusan pengangkutan akan diuruskan sepenuhnya oleh Pihak Tabung Haji ataupun Agensi pengurusan Haji berlesen untuk memudahkan perjalanan menunaikan haji dan mengelakkan penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketiga : Keamanan dan keselamatan semasa pergi dan balik. Isu keamanan membabitkan kebarangkalian berlakunya musibah, pergolakan atau peperangan di negara-negara yang dilalui semasa perjalanan sehingga membawa risiko kepada jemaah haji mestilah diambilkira. Disamping itu, jemaah haji perlulah memastikan keselamatan kaum keluarga dan tanggungan yang ditinggalkan di tanah air.  Dalam pada itu, bagi wanita pula mestilah ditemani mahram atau suami semasa menunaikan haji.

Keempat : Kesihatan tubuh badan. Pelaksanaan Ibadah haji memerlukan kesihatan mental dan fizikal dalam menyempurnakan setiap rukun Haji yang diwajibkan. Justeru para jemaah yang mempunyai penyakit tidak kronik yang tidak mengganggu pelaksanaan ibadah haji masih memenuhi syarat ‘istita’ah. Walaubagaimanapun, bagi warga emas yang mempunyai keuzuran seperti penyakit nyanyuk maka dibolehkan untuk dilakukan badal haji.

Kelima : Ada kesempatan masa untuk menunaikan haji. Realiti umat Islam di Malaysia dibenarkan menunaikan haji berdasarkan kuota haji yang telah ditetapkan oleh pihak Arab Saudi dan pihak Tabung Haji selaku badan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan haji umat Islam di Malaysia.

Semua syarat ini mestilah dipenuhi supaya ibadah haji dapat dilakukan dalam keadaan hati yang tenang dan pelaksanaan rukun yang sempurna untuk memperolehi haji yang mabrur yang mabrur.

Semoga kita mendapat kefahaman yang jelas berkenaan dengan pengertian istita’ah dalam pelbagai bentuk dan hukum.

Kepada umat Islam di Malaysia khususnya warganegara yang masih belum berdaftar haji, segeralah mendaftarkan diri, pasangan dan ahli keluarga di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

Kepada golongan muda yang sudah mula bekerja, tanamkan azam untuk menabung bermula dari sekarang. Pelbagai inisiatif telah disediakan untuk kemudahan tabungan haji antaranya melalui potongan gaji ibu bapa bagi anak-anak.

Semoga dengan usaha ini dapat memastikan setiap umat Islam dapat melengkapkan rukun Islam kelima ini.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari ini ialah :

Pertama : Ibadah haji adalah perlakuan yang menzahirkan kesatuan, kekuatan Ummah dan kehebatan individu Muslim.

Kedua : Pelaksanaan ibadah haji memerlukan pengorbanan yang besar untuk mengerjakannya termasuk pengorbanan masa dan wang ringgit.

Ketiga : Fahamilah pelaksanaan ibadah haji serta berusahalah untuk memenuhi syarat-syarat istita’ah supaya kita dapat menyempurnakan rukun Islam yang ditetapkan Allah SWT.

Keempat : Kita perlu pelajari ilmu ibadah haji dan memantapkan dari segi akidah serta menjauhi dari amalan syirik, saka, sihir dan santau.

Marilah kita hayati firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 197: Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
Tags: haji, ibadah, jannah, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments