mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Muhasabah Untuk Keberkatan Usia

Petikan Khutbah Jumaat (27 Disember 2019M / 30 Rabiulakhir 1441 H) JAWI

Muhasabah Untuk Keberkatan Usia

Adakah kita sedar sebenarnya usia kita ini adalah modal, sama seperti modal untuk menjalankan sesuatu perniagaan. Tanpa modal kita tidak dapat menjalankan perniagaan bagi meraih keuntungan.
jawi_logo.jpg
Ketika berdoa kita seringkali memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan usia, namun terkadang kita lupa untuk memohon keberkatan usia agar sentiasa dalam ketaatanNya.

Apalah gunanya umur yang panjang, tetapi berterusan bergelumang dalam noda dan dosa. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi RHM daripada Saidina Abu Bakar RA: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Siapakah manusia yang baik?” Maka Nabi SAW menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya. Lalu ditanya lagi: Siapakah seburuk-buruk manusia? Maka Nabi SAW menjawab: Orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.”

Usia atau umur tersebut perlulah diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti melakukan amal soleh dan menuntut ilmu.

Usia adalah amanah besar yang mesti dipelihara dan dimanfaatkan dengan kebaikan dan amal soleh. Fitrah manusia cenderung mencintai harta dan kesenangan dunia, juga mengimpikan usia yang panjang.

sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari RHM daripada Anas Bin Malik RA, Nabi SAW: Maksudnya: “Semakin berusia Anak Adam, semakin membesar bersama (di jiwanya) dua perkara: Cintakan Dunia dan Panjang Umur.”

Kurniaan usia yang panjang itu adalah ujian daripada Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya di dalam surah Fatir ayat 37: Maksudnya: “Bukankah kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat pada-Nya bagi sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran, oleh itu rasailah azab seksa kerana orang-orang yang zalim itu tidak akan beroleh apa pun pertolongan.”

Menurut Sheikh Sayyid al-Tantawi dalam kitabnya Tafsir al-Wasith, ayat ini menjelaskan bagaimana Allah SWT memberi teguran dan amaran kepada insan-insan yang terus lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu sebenarnya mampu untuk mencari kebenaran.

Kebanyakan manusia mengeluh kerana sibuk dengan kerjaya dan masalah dunia sehingga tidak dapat merasai manisnya ibadah, tidak khusyuk dalam solat dan malas melakukan ibadah dan kebajikan.

Penyakit-penyakit ini perlu diubati segera dan salah satu caranya adalah dengan bermuhasabah.

Amalan muhasabah juga akan membantu seseorang Muslim untuk merencana perancangan lebih baik supaya apa dihajati akan mudah untuk dilaksana.

Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata: “Hisablah diri sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalan sebelum kamu ditimbang kelak pada hari akhirat”.

Kata-kata ini mengisyaratkan kepada kita bahawa amalan bermuhasabah perlu diterapkan dalam budaya hidup setiap muslim melalui penilaian, mengambil iktibar peristiwa silam dan seterusnya bertaubat serta berazam untuk terus mara dalam menentukan kejayaan dalam hidup.

Mimbar mengambil kesempatan untuk mengingatkan para Jemaah sekalian berkaitan sesi persekolahan yang akan datang bahawa sebagai warga masyarakat yang prihatin, kita mestilah mematuhi dan menghormati setiap undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk melancarkan semua urusan keselamatan terutama di awal persekolahan iaitu pada 2, 3 dan 6 Januari 2020.

Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran penting yang dapat diambil dari khutbah pada minggu ini adalah:
Pertama: Usia adalah amanah besar yang mesti dipelihara. Ia harus dimanfaatkan dengan pelbagai kebaikan dan ketaatan serta amal soleh.

Kedua: Usia manusia yang baik dinilai pada keberkatannya yang terhasil dari amal solehnya.
Ketiga: Amalan bermuhasabah mampu menginsafkan seseorang terhadap kesilapannya di samping menjadi pengajaran berguna dalam mendepani cabaran hidup.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama-sama merenungi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 96: “Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) melebihi tamak orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka sekiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur yang panjang sedemikian tidak dapat melepaskan dari azab Allah. Dan ingatlah Allah sentiasa melihat apa yang mereka lakukan”.
Tags: berkat, khutbah, muhasabah, usia
Subscribe

Posts from This Journal “muhasabah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments