mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ibu Bapa Cemerlang, Anak-Anak Gemilang

Petikan Khutbah Jumaat 3 Januari 2020M/ 7 Jamadilawal 1441H JAWI

Ibu Bapa Cemerlang, Anak-Anak Gemilang

Setiap detik perjalanan kehidupan adalah satu pengembaraan menuju Allah SWT.

jawi_logo.jpgHadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rahimahullah, pernah suatu ketika, Abdullah bin Umar r.huma didatangi oleh Rasulullah saw, lalu Baginda SAW memegang kedua-dua bahunya sambil bersabda dan berpesan: "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau pengembara"

Bukankah Allah SWT telah memberikan peringatan kepada kita mengenai hakikat kehidupan dunia ini, melalui firmanNya di dalam surah Ghaafir, ayat 39: "Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."

Perancangan yang dilakukan untuk mencapai sasaran yang dihajati, perlu berada di landasan yang selari dengan kehendak Allah SWT.

Berazamlah untuk menjadi ibu bapa yang mendidik dan membentuk anak-anak, bukan hanya sekadar melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah semata-mata.

Dalam memastikankan keseimbangan pendidikan anak-anak kita, tiga aspek yang perlu diberi perhatian oleh setiap ibu bapa iaitu :

Pertama: Pendidikan Jasmani Ia merangkumi penyediaan makan minum, pakaian, tempat tinggal yang selamat dan mampu memelihara kesejahteraan fizikal mereka. Semua sumber-sumber penyediaan ini perlu dipastikan diperoleh dari sumber yang halal, bersih, menyihatkan dan menjamin kesejahteraan tumbesaran tubuh badan mereka.

Kedua: Pendidikan Rohani. Jiwa anak-anak perlu dipupuk dengan iman dan akidah yang benar. Taat mengerjakan solat dan kuat menjauhi maksiat dengan iman yang ditanam. Tabah dan sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran kehidupan.

Ketiga: Pendidikan Akhlak Anak-anak juga perlu dididik dengan budi pekerti yang mulia. Mereka perlu dilatih dengan melazimi akhlak-akhlak terpuji seperti bercakap benar, amanah, menyempurnakan tugasan, pemurah dan bertimbang rasa. Di samping itu mereka dididik untuk menjauhi sikap dan perlakuan yang tercela seperti suka berbohong, pemarah, dengki dan iri hati

Dalam memastikan ketiga-tiga aspek ini dipupuk dan dibangunkan secara berkesinambungan antara satu dengan yang lain, proses tarbiah ini perlu disusun dengan kemas dan sempurna.

Antara langkah langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menyempurnakan pendidikan anak-anak mereka ialah dengan menyediakan keperluan hidup sebaik mungkin.

Dalam pada itu, ibu bapa mestilah sentiasa memberi nasihat dan pedoman ke arah kebaikan. Bimbinglah mereka agar sentiasa memelihara diri daripada terjebak dengan kemungkaran. Inilah yang dilakukan oleh Luqman al-Hakim dalam mendidik anaknya.

Pelbagai bentuk nasihat diberikan untuk memastikan anaknya ingat dan sentiasa terpandu melazimi ketaatan.

Antara pesanan beliau ialah memelihara iman dan menjauhi syirik, mendirikan solat, berbuat baik kepada ibu bapa, mengikhlaskan amalan kerana Allah, menjayakan amar makruf nahi mungkar, bersabar dengan ujian hidup dan merendah diri sesama manusia.

Ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi tingkah laku dan sentiasa memperbetulkan kesilapan mereka. Elakkan daripada mencela dan memaki dalam mendidik anak-anak.

Hadis yang diriwayatkan Imam Al-Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman bukan mereka yang suka mencela, mengutuk, bercakap kotor dan keji.”

Jika sekiranya setiap ibu bapa memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak, mimbar yakin dan percaya mereka akan menjadi pelajar yang baik dan berdisiplin di sekolah.

Curahan ilmu yang diberikan oleh guruguru di sekolah akan lebih mudah diterima oleh mereka.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita hayati bersama beberapa kesimpulan sebagai renungan :

Pertama: Kehidupan kita adalah sebenarnya seorang pengembara, maka bekalkanlah diri dengan modal yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

Kedua: Jadilah ibu bapa yang berperanan dalam memastikan pendidikan anak-anak sentiasa terjamin dan terpelihara.

Ketiga: Berusahalah untuk menjadi ibu bapa yang sentiasa membentuk diri anak-anak dengan akhlak terpuji supaya mereka akan menjadi muslim sejati.

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 17-18 : “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, cegahlah perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala musibah yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."
Tags: anak, cemerlang, gemilang, ibubapa, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “ibubapa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments