mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Al-Quran, Mukjizat Agung Sepanjang Zaman

Petikan Khutbah Jumaat 10 Jan 2020M /14 Jumad al-Ula 1441H:JAIS

Al-Quran, Mukjizat Agung Sepanjang Zaman

Kitab suci al-Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan bagi seluruh umat Islam, selagi kita berpegang teguh dengannya.
jais.jpg
Al-Quran bermakna bacaan atau himpunan, sebagai bacaan kerana Al Quran itu untuk dibaca oleh umat Islam kerana dalam Al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Al-Quran terpelihara daripada sebarang penyelewengan dan niat jahat untuk merosakkan isi kandungannya, walaupun pelbagai percubaan telah dilakukan manusia untuk merosakkannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan yang hanya dapat diketahui huraiannya dan kebenarannya bagi mereka yang benar-benar mengkaji, mendalami dan menggali ilmunya.

Ilmu pengetahuan hanya akan didapati melalui membaca dan belajar.

mukjizat al-Quran juga adalah ayat-ayatnya yang mudah untuk dihafal dan diingat walaupun seseorang itu tidak fasih dan tidak faham bahasa Arab. Sehingga anak-anak kecil sekalipun mudah menghafal ayat-ayat al-Quran.

Para penghafal al-Quran digelar sebagai Huffaz dan Ahlullah.

Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya bagi Allah SWT itu ada ahlinya dalam kalangan manusia. Dia berkata: dikatakan (ditanya), Siapakah mereka wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Ahli al-Quran, mereka itulah Ahlullah dan mereka diberi keistimewaan.” (Riwayat Ahmad).

Di dunia ia menjadi syifa' (ubat atau penawar) bagi manusia dan di akhirat ia menjadi syafaat.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu alQuran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi syifa' (penawar) bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Orang yang beramal dengan al-Quran akan mempunyai akhlak yang terbaik kerana akhlak Nabi Muhammad SAW adalah akhlak al-Quran.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qalam ayat 4: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.

Berikut adalah beberapa langkah bagi menghidupkan al-Quran dalam jiwa setiap individu Muslim sebagai panduan bersama;

1. Meyakini sepenuh hati bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk (hidayah) yang menjadi pembimbing bagi umat manusia sepanjang zaman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2:“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

2. Beriman kepada al-Quran secara menyeluruh bukan beriman kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 89 – 91:“Dan katakanlah, sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar). Sebagaimana (Kami telah memberi peringatan), Kami telah menurunkan (azab) kepada orang-orang yang membahagibahagi (Kitab Allah), (yaitu) mereka yang telah menjadikan Al Quran itu terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).”

3. Sentiasa mentadabbur dan menghayati al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 91- 92: “Aku hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan negeri ini (Mekah) Yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nyalah segala sesuatu, dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Dan supaya aku membacakan Al Quran (kepada manusia). Maka barangsiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya ia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya, dan barangsiapa yang sesat maka katakanlah: “Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan.”

Sebagai galakan kepada umat Islam agar cinta dan kasih kepada alQuran, dinyatakan beberapa kelebihan al-Quran, antaranya;
Daripada Abu Umamah al-Bahili Radhiallahu Anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. (Riwayat Muslim).

Daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu Anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ٓ ً ٓ ال itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kita dituntut untuk sentiasa mempelajari, mengkaji, menjadikan alQuran sebagai panduan hidup disamping mengajarkannya bagi sesiapa yang mampu.

Nabi SAW menyifatkan golongan ini sebagai sebaik-baik manusia. Sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Usman bin Affan Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa perkara penting yang boleh dihayati dan dijadikan amalan bersama:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran adalah kitab suci yang mesti diimani kerana termasuk dalam rukun iman.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk yang lengkap dan sempurna meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

3. Umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran sebagai amalan perlembagaan, penawar, penenang bagi hati dan rahmat dalam kehidupan.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (al-Isra’ : 82).
Tags: al-quran, khutbah, mukjizat
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments