mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Madrasah Ramadan

RAMADAN merupakan bulan latihan atau madrasah yang melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Yusuf al-Qardawiy dalam bukunya, Al-Ibadah Fil-Islam (2003), madrasah Ramadan bertujuan menambah kekuatan kerohanian. Ia juga bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.

Professor Dr. Wahbah Zuhaili (1999) dalam Fiqh al-Islam wa adillatuh menyebut bahawa ibadah puasa merupakan 'madrasah' yang bertujuan melahirkan insan bertakwa. (rujuk al-Baqarah: 183)

Malah menurut Dr. Wahbah Zuhaili lagi, madrasah tersebut bertujuan untuk membina takwa melalui pendekatan berikut:

1 Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.

2 Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.

3 Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.

4 Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad daripada unsur yang memudaratkan.

Bagi Dr. Mustaffa Siba'i (1956) pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan ia mencakupi aspek harta dan juga jasmani sementara aspek roh ia meliputi iman dan pemikiran.


Ramadan diharap dapat membina generasi mantap yang kukuh luaran dan dalaman. - Gambar hiasan

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam kehidupan ataupun kerjaya yang diceburi.

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang dinamakan takwa.

Dari aspek psikologi manusia terdiri dari empat komponen yang utama iaitu aspek fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen tersebut, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.

Perubahan atau tindakan yang perlu dilakukan itulah yang dikategorikan sebagai sukatan pelajaran atau silibus yang perlu dilalui oleh setiap individu. Melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan itu, diharapkan ia dapat membina generasi yang mantap dan kukuh luaran dan dalaman individu, dalam konteks kehidupan dan diharap sekali gus melahirkan generasi yang mantap, iaitu generasi yang bukan dimanjakan, atau generasi yang berada di keadaan serba selesa. Tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Perkara ini penting kerana diharapkan madrasah Ramadan ini benar-benar dapat meningkatkan lagi semangat daya juang dalam kehidupan. Perlu disedari bahawa sepanjang bulan Ramadan ini umat Islam pada umumnya telah melalui fasa-fasa latihan berdasarkan sukatan pelajaran atau silibus yang tertentu dan sekali gus umat Islam keseluruhannya telah menjalani dan mengalami latihan yang menjurus kepada perubahan tertentu dalam kehidupan seharian dan perubahan yang dilakukan bermatlamatkan untuk membina diri mukmin yang kuat (al-Qawiyy)serta amanah (al-Amin).

Selain itu, madrasah Ramadan juga mendidik diri untuk meningkat, mendekati serta menghayati konsep Hablun Minallah (hubungan dengan Allah) dan konsep Hablun Minannas (hubungan sesama manusia). Hubungan tersebut terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan sekali gus ia mampu dan diharapkan untuk diterjemahkan selepas Ramadan.



Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL l LEFTENAN Kolonel dr. burhanuddin abdul Jalal ialah pegawai Kagat dan kini bertugas di Sel Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat Malaysia, Kementerian Pertahanan. Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14 Ogos 2012 / 25 Ramadan 1433H

Tags: ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments