mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Pembangunan Negara Tanggungjawab Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 17 Januari 2020M/ 21 Jamadilawal 1441H JAWI

Pembangunan Negara Tanggungjawab Bersama

Islam telah mensyariatkan ibadah zakat sebagai cara untuk mengagihkan harta kepada yang berhak. Ia bukan sahaja dapat melepaskan asnaf daripada belenggu kemiskinan bahkan ia juga dapat memastikan kebajikan mereka terpelihara. Inilah sebahagian hikmah ibadah zakat kepada ekonomi umat Islam.
jawi_logo.jpg
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Kahfi ayat 94 : “Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?.”

Imam Al-Syaukani menjelaskan bahawa maksud al-kharaj dalam ayat tersebut adalah ‘apa yang dikutip oleh pemimpin’. Ini termasuklah pemimpin boleh mewajibkan rakyat membayar cukai.

Dalam sejarah, kerajaan-kerajaan Islam telah memperkenalkan Jizyah, iaitu cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam bagi melayakkan mereka untuk mendapat perlindungan dan penjagaan sama ada harta, keluarga, darah dan lain-lain.

Begitu juga Kharaj, cukai tanah yang diperkenalkan pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a dan juga ‘Usyur, iaitu cukai perdagangan. Ia berkembang seiring keperluan semasa sesebuah negara.

Cukai hakikatnya ialah bayaran yang dibayar oleh rakyat untuk kebajikan diri mereka sendiri. Justeru ia secara tidak langsung adalah suatu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama.

Imam al-Tirmizi r.h telah merekodkan hadith daripada Fatimah binti Qays r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya pada harta itu ada kewajipan (hak untuk dikeluarkan) selain zakat.”

Dalam Islam, sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mewujudkan dasar percukaian dalam memungut hasil kepada negara, selagi mana dasar yang digubal menepati prinsip adil, melestarikan kemakmuran negara dan tidak membebankan rakyat.

Justeru, sebagai warganegara yang prihatian, kita mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan ibadah zakat untuk kelangsungan ekonomi umat Islam.

Kita juga bertanggungjawab kepada negara melalui pembayaran cukai sama ada cukai pendapatan, cukai perdagangan dan sebagainya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah agensi yang memainkan peranan yang penting kepada negara dalam membantu membangunkan kemudahan-kemudahan infrastruktur melalui kutipan cukai perkhidmatan, duti import dan eksport, penyediaan kemudahan di pelabuhan dan lapangan terbang, serta lain-lain yang akan memberi hasil kepada negara.

Selain itu, antara tugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga adalah membanteras segala bentuk penyeludupan dan penyelewengan dengan cekap dan berkesan bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi sepenuhnya.

Tanggungjawab memungut hasil dan menyediakan fasiliti perdagangan melalui penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang ini adalah bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, memelihara keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Bersempena dengan Hari kastam Sedunia ke-38, marilah kita sama-sama memberikan komitmen sebaik mungkin, turut sama dalam membasmi jenayah perdagangan, menolak amalan rasuah dan penyelewengan bagi membantu membentuk persekitaran kondusif dan selamat untuk pembangunan ekonomi.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Taubah, ayat 71: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita wajib melaksanakan ibadah zakat untuk kelangsungan ekonomi umat Islam dan membayar cukai untuk kemaslahatan negara dan masyarakat.

Kedua: Kitaran ekonomi yang positif, adil, saksama dan kondusif bukan sahaja akan menjadikan umat Islam sebagai umat yang berkemampuan serta berdaya saing, malah menjamin Maqasid al-Syariah dalam aspek memelihara harta.

Ketiga: Dalam Islam, sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mewujudkan dasar percukaian selagimana dasar tersebut menepati prinsip keadilan, melestarikan kemakmuran negara dan tidak membebankan rakyat.

Ffrman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orangorang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Tags: khutbah, pembangunan, tanggungjawab
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments