mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Wakaf Pemangkin Ekonomi Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 24 Januari 2020M/ 28 Jamadilawal 1441H JAWI

Wakaf Pemangkin Ekonomi Ummah

Ibadah wakaf sangat dituntut dalam Islam yang menyumbang kepada kemantapan pembangunan sosial sesebuah masyarakat.

Pembinaan masjid, surau, madrasah dan tanah perkuburan Islam adalah antara bentuk sumbangan yang terhasil melalui ibadah wakaf.
jawi_logo.jpg
Ibadah wakaf termasuk dalam kategori sedekah jariah kerana pahalanya terus-menerus diperoleh oleh orang yang melakukannya.

Para ulama sepakat menerima wakaf sebagai satu amal jariah yang disyariatkan dalam agama Islam.

Ia juga menjadi amalan yang sentiasa diutamakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RAhum.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 272: “Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Imam Muslim RH telah meriwayatkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasullullah SAW bersabda : “Apabila telah mati manusia terputuslah darinya amalannya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.”

Sesungguhnya ramai dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah melaksanakan ibadah wakaf.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA telah mewakafkan tanahnya di Makkah, Saidina Umar al-Khattab RA telah mewakafkan tanahnya di Khaibar, Saidina Uthman bin ‘Affan RA telah mewakafkan hartanya di Khaibar, Saidina Ali bin Abi Thalib RA pula mewakafkan tanah subur miliknya dan Mu’adz bin Jabal telah mewakafkan rumah miliknya yang dikenali sebagai “Dar Al-Ansar”.

Malah, ramai lagi dalam kalangan mereka yang turut sama melaksanakan ibadah wakaf demi kepentingan umat Islam.

Wakaf tidak semestinya hanya dengan tanah, bangunan atau lain-lain aset yang berbentuk kekal bahkan Islam juga mengharuskan wakaf tunai iaitu berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diwakafkan untuk mengumpul dana wakaf yang kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10 hingga12 April 2007 turut memutuskan bahawa konsep wakaf tunai adalah dibolehkan dalam Islam.

Kepentingan wakaf tunai sebagai instrumen bagi mensejahterakan kehidupan masyarakat secara lestari telah membuka mata banyak pihak untuk memperluaskan amalan wakaf tunai di Malaysia.

Islam amat menggalakkan agihan semula kekayaan oleh mereka yang mempunyai lebihan harta sama ada melalui zakat, wakaf, sedekah dan sebagainya. Janganlah kita sayangkan harta dan pentingkan kehendak diri sendiri sehingga mengabaikan kewajipan ini.

Sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan kepada mereka yang ingkar, sombong dan pentingkan diri sendiri dengan diberikan balasan azab yang pedih di dalam neraka. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Haqqah, ayat 30-34: “(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahim. Kemudian, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.”

Mengakhiri khutbah marilah kita mengambil beberapa intipati sebagai rumusan khutbah pada hari ini:

Pertama : Ibadah wakaf adalah termasuk dari amalan jariah yang menjamin ganjaran pahala yang berterusan walaupun pewakaf telah meninggal dunia.

Kedua : Wakaf tunai adalah jalan terbaik bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Ketiga : Ambillah peluang berwakaf sebagai bekalan menuju akhirat walaupun hanya dengan wang yang sedikit.

Keempat: Berwakaflah ke Pusat Wakaf MAIWP. Berkuatkuasa 1 Jan 2020, sumbangan wakaf tunai ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mendapat pelepasan cukai sebagaimana yang telah diumumkan di dalam pembentangan belanjawan 2020 baru baru ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 254: “Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Tags: ekonomi, khutbah, ummah, wakaf
Subscribe

Posts from This Journal “wakaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments