mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Jadilah Golongan Yang Sedikit

Petikan Khutbah Jumaat 31 Jan 2020M /06 Jumada al-Akhirah 1441H: JAIS

Jadilah Golongan Yang Sedikit

Sebagai umat Islam, kita dituntut agar mensyukuri segala nikmat Allah SWT terutamanya nikmat iman dan Islam.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah Faatir ayat 3:“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah. Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?”

Sesungguhnya sifat syukur akan melahirkan umat Islam yang benarbenar berkualiti, berakhlak, berintegriti, dan berketerampilan.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105:“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Rasulullah SAW mengajar kita supaya mudah mensyukuri nikmat Allah SWT dengan memerhatikan orang yang lebih rendah daripada kita dari sudut akal, keturunan, harta dan nikmat-nikmat yang lain.

Baginda melarang seseorang Islam hanya melihat kepada orang yang di atasnya sahaja, sebagai contoh, kita sering menanam impian ingin menjadi orang yang hidup mewah dan kaya seperti orang lain

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat kepada orang yang berada di atas kamu kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu.” (Riwayat Muslim).

Kita dianjurkan untuk sentiasa bersikap qana‟ah iaitu menerima seadanya apa yang diberikan oleh Allah SWT atau merasa puas ke atas bahagiannya yang diperolehi setelah berusaha.

Orang yang mempunyai sifat qana‟ah tentunya tidak akan dipengaruhi oleh sifat tamak haloba terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain.

Sifat qana‟ah mengandungi sifat positif yang antaranya ialah menerima apa yang terjadi, realistik (nyata), dinamik atau bersemangat, merasa tenang, jiwa yang stabil, optimis, dermawan, tawakal dan selalu bersyukur atas nikmat Allah SWT.

Manakala dalam perkara-perkara ibadah dan amal soleh, kita disuruh untuk mengikuti orang yang baik amalannya. Kita juga dituntut untuk bersegera dan berlumba-lumba melalukan perkara kebajikan.

Ketika ditanya oleh Saiyidatina Aisyah Radhiallahu Anha mengapakah baginda masih bersusah payah melakukan amalan sedemikian walaupun dosa Nabi yang lalu bahkan yang akan datang telah diampunkan oleh Allah SWT? Lantas Nabi menjawab:“Apakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Riwayat al-Bukhari).

Seseorang hamba yang bersyukur adalah hamba yang mengucapkan lafaz „Alhamdulillah‟ dengan lisannya. Perkatan „Alhamdulillah‟ adalah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa arab yang bermaksud ‘segala puji bagi Allah’.

Dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ ini, ia bermakna seseorang itu telah memuji Allah SWT dan secara tidak langsung seseorang itu telah bersyukur kepada-Nya.

Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7:“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya apabila Allah mengurniakan sesuatu nikmat kepada hamba-Nya. Maka Allah suka agar nikmat itu tampak kesannya pada diri hamba itu”. (Riwayat al-Baihaqi).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian untuk menghayati tiga rumusan utama iaitu:

1. Umat Islam wajib bersyukur di atas nikmat iman dan Islam serta nikmat-nikmat yang lain.

2. Umat Islam hendaklah bersikap qana‟ah dengan menerima seadanya apa yang diberikan oleh Allah SWT atau merasa puas ke atas bahagiannya setelah berusaha dan bertawakal.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa menjadi orang yang bersyukur agar dilimpahkan pelbagai nikmat dan rahmat daripada Allah SWT.

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim : 32-34).
Tags: alhamdulillah, khutbah, syukur
Subscribe

Posts from This Journal “syukur” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments