mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Yang Muda Dikasihi, Yang Tua Dihormati

Petikan Khutbah Jumaat 14 Feb 2020M /20 Jumada al-Akhirah 1441H: JAIS

“Yang Muda Dikasihi, Yang Tua Dihormati”

Masyarakat yang berkasih sayang saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain termasuklah golongan yang muda ataupun tua.

jais.jpgIa sebagaimana diajar oleh Nabi SAW untuk kita saling menyayangi sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiaallahu Anhuma: “Sayangilah semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Sebaliknya orang yang tidak mempunyai kasih sayang tidak akan disayangi sepertimana hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak disayangi.” (Riwayat Muslim).

Islam adalah agama yang mengajak umatnya untuk berkasih sayang. Kasih sayang adalah penghubung tali persaudaraan sesama manusia.

Golongan tua adalah merupakan individu penting dalam membentuk golongan muda dengan sifat kasih sayang antara satu dengan yang lain. Mereka perlu melayani dan membimbing golongan muda dalam kalangan anak-anak atau remaja dengan penuh kasih sayang.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya: “Demi diriku yang berada ditangan-Nya, kamu tidak akan masuk ke syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dinamakan beriman sehingga kamu berkasih sayang”. (Riwayat Abu Daud).

Sifat kasih sayang ini perlu dibentuk dikalangan anak-anak muda lagi, bak kata pepatah melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Ibubapa merupakan orang tua yang wajib dihormati kerana terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka yang tidak dapat kita balas dengan harta mahupun kekayaan.

Tiada yang tua maka tiadalah yang muda. Kasih sayang yang telah mereka curahkan kepada kita sejak kecil hingga dewasa tiadalah tolok bandingnya.

Bertuturlah dengan bahasa yang baik dan katakata yang lemah lembut serta menampilkan tingkah laku yang sopan lagi mesra.

Janganlah kita mengharapkan habuan yang menggunung daripada mereka tetapi hendaklah kita memikirkan apa yang kita berikan kepada mereka.

Balaslah kebaikan mereka dengan kasih sayang kita, bahkan berbuat baiklah kepada mereka supaya kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang sombong dan sering membanggakan diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "AH" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Hadis Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma, dia berkata bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan ibu bapa dan murka Allah itu terletak pada murka ibu bapa.” (Riwayat at-Tirmidzi).

Rasullullah SAW juga tidak mengaku sebagai umatnya kepada orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua melalui hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami dan tidak memahami hak orang yang lebih besar di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami.” (Riwayat Abu Daud).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, Khatib menyeru kepada seluruh umat Islam supaya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kasih mengasihi sesama manusia adalah perintah daripada Allah SWT kepada semua umat manusia.

2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan kesejahteraan hidup dengan berkasih sayang.

3. Umat Islam hendaklah memupuk sikap saling menghormati antara golongan yang tua dengan golongan yang lebih muda.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah : 128).
Tags: hormati, kasihi, khutbah, muda, tua
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments