mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kelebihan Al-Maliki

AL Imam al 'Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad al Hasan bin 'Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al Maliki al Hasani dilahirkan di Bab al Salam, Mekah pada 1369 Hijrah bersamaan 1949 Masihi daripada keturunan yang mulia iaitu zuriat Sayyiduna Hasan bin Ali.

Beliau menuntut ilmu di Mekah dalam halaqah tradisi di Masjidil Haram dan universiti al Azhar hingga mendapat ijazah kedoktoran (PhD) cemerlang dalam bidang hadis dari Universiti al Azhar ketika berusia 25 tahun.

Selepas kewafatan bapanya pada malam Rabu 25 Safar 1391 Hijrah, beliau dilantik menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram menggantikan tempat bapanya melalui persepakatan ulama di sana.

Sekiranya dihitung guru ilmu dan ijazahnya, ia menjangkau sejumlah lebih 200 orang. Antara mereka ialah bapanya Sayyid 'Alawi al Maliki, Syeikh Hasan al Mashsyat, Syeikh Hasan Sa'id al Yamani, Syeikh Muhammad 'Arabi al Tabbani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Muhammad Yahya Aman, Syeikh Muhammad Zakaria al Saharanfuri, Syeikh Muhammad Yusuf al Banuri, Syeikh Muhammad al Hafiz al Tijani, Syeikh Soleh al Ja'fari dan ramai lagi.

Semenjak usia muda lagi beliau telah diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram semua bidang ilmu Islam terutamanya bidang yang menjadi kepakarannya iaitu hadis dan usul juga Feqah Mazhab Maliki.

Di sana, beliau amat dihormati dan dimuliakan lantaran terhimpun dalam dirinya kemuliaan ilmu, amal dan nasab.

Halaqah pengajiannya di Masjidil Haram diadakan pada setiap malam selepas Maghrib dan Isyak di mana beliau menyambung pengajiannya dari satu bidang ke satu bidang dengan begitu bersungguh-sungguh demi memberikan manfaat kepada anak-anak muridnya yang sentiasa dahagakan ilmu.

Dalam pergaulan, beliau tidak pernah membezakan antara anak-anak muridnya, selagi yang duduk di hadapannya ialah orang-orang yang menginginkan ilmu, bertakwa kepada Allah dan berpegang kepada agama serta menunaikan syariat.

Beliau sering menziarahi anak-anak muridnya yang sakit, sentiasa bertanyakan keadaan mereka, suka menerima undangan mereka dan tidak bersifat takbur dan sombong untuk duduk bersama-sama di atas satu hamparan.

Lantaran kehebatan dan ketinggian ilmunya, orang ramai berebut-rebut untuk mengikuti halaqah pengajiannya terutama pada bulan Ramadan. Lebih daripada 1,000 penuntut daripada pelbagai bangsa dan negara datang untuk mendengar kuliahnya setiap Ramadan.

Sayyid Muhammad al Maliki pernah menjadi pensyarah Kuliah Syariah di Universiti Malik Abdul Aziz, Mekah dari 1390 hingga 1399 Hijrah. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ahli Pertubuhan Perikatan Islam Sedunia dan sering menjadi pembentang kertas kerja dalam Muktamar Islam. Pada 1392 Hijrah, beliau telah membentangkan kertas kerja mengenai orientalis dalam Nadwah Pemikiran Islam di Algeria.

Pada bulan Zulkaedah 1393 Hijrah, beliau menjadi salah seorang ahli delegasi Pertubuhan Perikatan Islam Sedunia sebagai mewakili kerajaan Arab Saudi dalam majlis pembukaan Markaz Islam di Nigeria. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Lujnah Hakim dalam Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa di Arab Saudi tiga tahun berturut-turut iaitu sejak 1399 hingga 1401 Hijrah.


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14 Ogos 2012 / 25 Ramadan 1433H

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments