mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Memelihara Keamanan dan Kesejahteraan

Petikan Khutbah Jumaat : 28 Februari 2020M/ 4 Rejab 1441H JAKIM

Memelihara Keamanan dan Kesejahteraan

Antara nikmat besar yang telah dikurniakan kepada kita ialah nikmat keamanan dan kesejahteraan. Allah SWT mengurniakan nikmat ini supaya kita semua dapat berfikir dan merenungi keagungan dan kekuasaan-Nya.
jakim.jpg
Keamanan bermaksud kita bebas dari segala macam ancaman yang menggugat keharmonian. Dengan adanya keamanan di Negara ini, maka keselamatan dan keharmonian akan terbina kukuh dan Islam akan dapat terus terpelihara dan berdaulat.

Nabi Ibrahim AS pernah berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan keamanan dan kemakmuran kepada negeri Makkah. Hal ini sebagaimana tercatat dalam Surah al-Baqarah ayat 126: “Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata; “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenangsenang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanaya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburukburuk tempat kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 126)

Keamanan berkait rapat dengan keimanan yang menjadi benteng dalam diri. Al-Quran mengungkapkan perkaitan ini melalui Surah al-An’am ayat 82:: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Islam amat menitikberatkan keamanan bagi sesebuah negara. Rasulullah SAW menggambarkan bahawa keamanan merupakan salah satu nikmat terbesar di dunia dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah RHM, daripada Abu Salamah bin Ubaidillah, daripada bapanya, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa antara kamu berada pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh badannya, rasa aman dalam hidupnya, cukup makanannya pada hari itu, maka seolah-olah seluruh dunia dikumpulkan untuknya.”

Insya Allah, Allah SWT akan memberi petunjuk dan pertolongan dalam menyelesaikan isu ini dengan jalan yang terbaik demi kepentingan masyarakat dan negara yang kita cintai ini.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Dalam memastikan keamanan dan keharmonian Negara dapat dikekalkan, mimbar juga mengajak dan menyeru seluruh umat Islam menjaga adab dalam berbicara terutama di media sosial, bijak menilai dan mencari kebenaran berkaitan sesuatu berita yang disebarkan oleh mana-mana pihak.

Sentiasalah berlapang dada dan bertolak ansur menjalani kehidupan. Ingatlah bahawa keamanan dan keharmonian Negara mestilah diutamakan setiap masa.

Kita juga berdoa kepada Allah SWT supaya negara kita berjaya mengatasi masalah wabak Covid-19 dan dihindarkan daripada kesan wabak tersebut yang pada ketika ini masih lagi belum reda di beberapa buah negara.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama kita renungi pengajaran daripada firman Allah SWT yang menyatakan keamanan sebagai suatu nikmat yang besar dalam kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah Quraysh;“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraysh (penduduk Makkah). (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.”
Tags: keamanan, kesejahteraan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “keamanan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments