mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Pemimpin Ditaati, Negara Harmoni

Petikan Khutbah Jumaat 6 Mac 2020M/ 11 Rejab 1441H JAWI

Pemimpin Ditaati, Negara Harmoni

Keamanan dan keharmonian antara kaum semestinya menjadi faktor yang sangat penting kepada negara kita untuk mencapai kemajuan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya.

Justeru, kepimpinan negara mestilah menjadi keutamaan dalam memastikan kesimbangan tersebut terus terpelihara.
jawi_logo.jpg
Firman Allah SWT dalam surah alSajadah ayat 24 sebagaimana yang dibacakan sebentar tadi : “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.”

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat tersebut, menyatakan bahawa : Ketika mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran.

Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat.

Saidina Umar al-Khattab RA pernah menyatakan bahawa “manusia mengikuti cara hidup pemimpinnya”. Kata-kata tersebut menepati realiti kehidupan kebanyakan masyarakat. Justeru, dengan adanya pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah tentu dia akan memberi kesan yang mendalam kepada cara hidup masyarakat.

Dalam konteks negara, pemimpin yang mesti kita hormati ialah Ketua Utama Negara iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Malah kita juga mestilah menghormati kepimpinan negara iaitu Jemaah Menteri atau Kabinet Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi Rukun Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya.

Setiap titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mestilah ditaati oleh setiap rakyat Negara ini.

Sesungguhnya Baginda Tuanku menjadi simbol kepada perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Amat menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang berani mempersenda dan menghina institusi Raja di negara ini. Inilah yang menghakis perasaan hormat dan cintakan negara.

Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Imam Muslim meriwayatkan hadis, daripada Ibnu Umar RAnhuma, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau taat.”

Sesungguhnya setiap pemimpin itu mestilah mempunyai ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Justeru, beberapa ciri pemimpin yang menduduki jawatan tertinggi negara

Sebagaimana yang digariskan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan antaranya:

Pertama: Islam. Ini adalah kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam.

Kedua: Matang. Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang yang jahil dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat.

Ketiga: Bersifat adil. Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil.

Keempat: Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya.

Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad. Jika dia tidak mampu berijtihad, maka dia hendaklah mempunyai penasihatpenasihat yang mamahami hukum-hakam Islam.

Kelima: Bijaksana dan mempunyai pemikiran holistik. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir, menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman.

Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.

Keenam: Melaksanakan Nilai-Nilai Islam. Beramal untuk Islam adalah wajib. Ini kerana tidak akan terlaksana syariat Allah di muka bumi sekiranya sistem dan undang-undang ciptaan manusia lebih diutamakan ke atas masyarakat.

Justeru, pemimpin mestilah membawa rakyat supaya mengamalkan cara hidup berteraskan nilai-nilai Islam.

Marilah kita saling berusaha menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta saling ingat-mengingati sesama kita agar terus memelihara keharmonian sesama masyarakat yang berbilang kaum.

Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan isu-isu berkaitan penghinaan kepada agama, penghinaan kepada Institusi Raja, perkauman dan sebagainya.

Sebagai rakyat yang bijak, kita juga mestilah mengamalkan sikap ‘semak sebelum sebar’ terhadap sesuatu berita yang diterima.

Mimbar juga mengambil kesempatan untuk menyarankan kepada setiap Pentadbiran Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan supaya melaksanakan solat hajat selepas solat jumaat hari ini dan Hari-Hari yang lain mengikut keperluan bagi memohon kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara daripada sebarang pergolakan, huru-hara dan wabak penyakit berbahaya seperti (Covid-19). Semoga Allah SWT mengabulkan doa kita, insya Allah.

Mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin mengemukakan beberapa kesimpulan sebagai ingatan kita bersama.

Pertama: Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Baiknya rakyat adalah cerminan bagi baiknya para pemimpin.

Kedua: Mentaati pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan dalam masa yang sama mereka juga terhindar daripada penindasan.

Ketiga: Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi Rukun Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya oleh setiap warganegara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 96, “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Tags: harmoni, khutbah, pemimpin, taat
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments