mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Kepimpinan

Petikan Khutbah Jumaat 13 Mac 2020M/ 18 Rejab 1441H JAKIM

Kepimpinan

Kepimpinan merupakan salah satu tanggungjawab yang amat berat.

Allah SWT telah menjelaskan dalam firman-Nya yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jakim.jpgkemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia ialah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah alAhzab ayat 72)

Hakikatnya semua manusia adalah pemimpin. Kita semua telah pun diberikan amanah, sesuai mengikut kedudukan dan kemampuan masing-masing. Sama ada amanah terhadap diri sendiri, terhadap rumah tangga, hinggalah kepada pengurusan negara.

Seseorang pemimpin bertanggungjawab terhadap masyarakat yang berada di sekelilingnya.

Kedudukannya umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang mencorakkannya hatta agama ikutan para pengikutnya. Sebagaimana ungkapan Ibn Khaldun; Orang ramai mengikut agama (cara hidup) pemimpin-pemimpin mereka”

Ingatlah bahawa jawatan merupakan amanah yang akan dipersoalkan pada hari akhirat. Ingatlah peristiwa ketika Abu Dzar meminta dilantik oleh Rasulullah SAW untuk satu jawatan.

Rasulullah SAW lantas bersabda kepada Abu Dzar sambil menepuk bahunya: “Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau ini lemah dan ini perkara amanah. Di hari akhirat nanti ia akan menghina dan mendukacitakan kecuali orang yang dapat menjalankan dengan penuh kebenaran serta melaksanakan tugas yang dipikul ke atas tengkuknya” (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah SAW juga pernah bersabda; “Kamu semua adalah pengembala dan kamu semua akan ditanya tentang gembalaannya. Pemerintah adalah penggembala dan akan ditanya tentang rakyatnya. Seorang lelaki adalah penggembala pada keluarganya dan ditanya tentang rakyatnya (keluarganya), perempuan adalah penggembala di rumah suaminya dan akan ditanya tentang rakyatnya (amanahnya). Khadam adalah penggembala kepada harta tuannya dan akan ditanya tentang rakyatnya (pertanggungjawabannya). Katanya: Aku sangka bahawa Baginda bersabda “dan lelaki adalah penggembala pada harta ayahnya dan akan ditanya tentang rakyatnya (amanahnya). Kamu semua adalah penggembala dan ditanya tentang rakyatnya (tanggungannya)” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mentaati pemerintah yang adil merupakan salah satu perintah agama. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Umamah RA: “Sembahlah Tuhanmu, solatlah lima waktu, puasalah bulan Ramadhan, tunaikan zakat hartamu, dan taatlah kepada pemerintah nescaya kamu masuk syurga Tuhanmu” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmidzi, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Para pemimpin perlu meletakkan nilai agama sebagai neraca utama dalam segala tindak-tanduknya.

Pemimpin haruslah mendampingi ulama, kerana ulama dan umara merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan dalam tujuan mencapai keredhaan Allah SWT.

Para pemimpin harus menyematkan kesedaran dalam jiwa bahawa kuasa itu mutlak milik Allah SWT. Dia berhak mengangkat dan mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Janganlah berasa angkuh dan sombong dengan kekuasaan yang dimiliki sedang kita hanyalah hamba-Nya yang lemah dan sering lalai dalam mengerjakan suruhan-Nya.

Semoga Allah SWT memberi pertolongan kepada pemimpin-pemimpin di negara ini seterusnya menjadikan negara ini negara yang diberkati-Nya. Insya-Allah.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu; dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun” (Surah Saba’ ayat 15)
Tags: kepimpinan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kepimpinan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments