mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Israk Dan Mikraj Menguatkan Keimanan

Petikan Khutbah Jumaat 20 Mac 2020M / 25 Rajab 1441H: JAIS

 “Israk Dan Mikraj Menguatkan Keimanan”.

Israk dan Mikraj adalah antara peristiwa penting di dalam Islam. Ia adalah mukjizat dan kurniaan besar dari Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW setelah baginda SAW menghadapi tentangan pemimpin-pemimpin Quraish dan kehilangan isteri serta bapa saudaranya yang membantu bahkan melindungi baginda SAW dalam melakukan kerja-kerja dakwah. jais.jpg

Dengan sebab mukjizat inilah, Allah SWT hendak menjadikan rasul-Nya sebagai insan yang mulia. Dengan Israk dan Mikraj juga Allah hendak menggantikan yang lebih baik lagi dari apa yang Nabi SAW alami dan para malaikat pun memberi penghormatan kepada baginda SAW setelah berjuang dengan susah payah menghadapi rintangan dan akhirnya Nabi SAW mendapat kekuatan baru untuk terus berdakwah menyebarkan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ pada ayat pertama yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Inilah dalil al-Quran yang menjadi pegangan dan keimanan umat Islam terhadap peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila al-Quran menceritakan suatu peristiwa, maka tidak ada pilihan lain bagi umat Islam melainkan mengimaninya kerana ia datangnya dari Allah SWT. Allah memulai dengan perkataan "سبحان "memberikan pengertian Maha Suci Allah dari sama dengan makhluk sehingga Israk dan Mikraj adalah peristiwa yang benar-benar ajaib dan luar biasa di luar jangkauan akal dan kemampuan manusia.

Selepas itu, Allah menyebutkan ٱ" ِيٓ ذ ۡ ۡس َّل َٰى yang أ " bermaksud “yang telah mengisrakkan atau memperjalankan” memberikan pengertian bahawa Nabi SAW diisrakkan oleh Allah bukan Israk Nabi SAW dengan sendirinya sebab Nabi SAW adalah sebagai hamba Allah yang dalam kekuasaan Allah.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini ada disebut dalam beberapa hadis-hadis sahih bersumberkan dari Anas bin Malik sebagaimana diriwayatkan oleh AlImam Al-Bukhari dan Muslim yang menjelaskan perjalanan peristiwa Israk dan Mikraj tersebut.

Pada suatu malam, malaikat Jibril turun dan membawa Nabi SAW ke Baitullah. Malaikat Jibril telah membedah dada Rasulullah SAW kemudian dibersihkannya dengan air zamzam lalu dituangkan hikmat dan iman.

Kemudian Nabi SAW menunggang Al-Buraq menuju Baitul Maqdis dan di sana Baginda SAW mengerjakan solat 2 rakaat. Selesai solat, Jibril menghidangkan satu bekas yang berisi arak dan satu bekas berisi susu.

Lalu Nabi SAW memilih susu sebagai simbolik kepada Islam, agama fitrah. Aqidah, syariah dan akhlak dalam Islam adalah sesuai dengan kehendak dan ciptaan manusia. Apa sahaja ajaran dalam Islam tidak bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia.

Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Dalam masa yang sama, peristiwa ini telah diambil peluang oleh kafir Quraish untuk wujudkan keraguan supaya orang-orang yang beriman tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh nabi SAW.

Sebenarnya, apa yang disaksikan oleh baginda SAW dengan pelbagai peristiwa itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh logik akal. Oleh kerana itu, Saidina Abu Bakar  al-Siddiq Radhiallahu Anhu ketika ditanya tentang pendiriannya berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj, maka dengan tenang beliau menjawab: “Jika baginda SAW yang berkata maka ungkapannya adalah benar. Sememangnya aku akan tetap mempercayai lebih dari itu”.

Muslimin yang dirahmati Allah, Peristiwa agung ini mengandungi iktibar dan keinsafan kepada umat Islam untuk meningkatkan iman serta mengambil beberapa pengajaran yang menggambarkan kebesaran Allah SWT.

Allah memperjalankan Nabi SAW hanya mengambil masa dalam satu malam sahaja dari Masjidil Haram, Baitul Maqdis, Sidratul Muntaha dan balik semula ke Masjdil Haram.

Sedangkan perjalanan dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis sahaja mengambil masa 40 hari. Pelbagai peristiwa dizahirkan bagi menggambarkan tentang amalanamalan yang dilakukan oleh manusia di dunia yang akan diperhitungkan di akhirat kelak.

Setiap amal kebaikan akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda sementara amal keburukan yang dilakukan akan dibalas dengan azab yang setimpal.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Bazzar, Nabi Muhammad SAW telah melalui penempatan beberapa kaum yang hidup mereka penuh dengan kemaksiatan. Antaranya mereka malas mendirikan solat, enggan membayar zakat, bergelumang dengan wang riba, suka mengumpat, menyebar fitnah, berzina, bersikap sombong dan mengkhianati  janji.

Ini menggambarkan betapa besarnya azab siksa yang akan menimpa umat manusia sekiranya melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah. Nabi SAW juga dibawa melihat ke suatu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bauan wangi harum semerbak bagai kasturi, serta kedengaran suara yang riang gembira.

Inilah suara syurga yang merayu memohon agar Allah membalas apa-apa yang dijanjikan, walaupun mereka sedang menikmati berbagai-bagai nikmat syurga, namun syurga masih memohon lagi nikmat yang lebih besar sebagai ganjaran kepada yang beriman dan beramal soleh.

Demikian balasan yang amat besar kepada umat Nabi Muhammad SAW yang taat perintah-Nya. Selepas itu Jibril AS membawa Nabi ke suatu tempat, kedengaran suara bising dan udaranya berbau busuk.

Jibril AS menyatakan, itu adalah suara neraka Jahannam yang menyeru agar ditambah lagi azab yang dijanjikan walaupun telah bertimbun padanya rantai, belenggu, api menjulang, air panas mendidih, tetapi neraka Jahannam masih memohon lagi azab dan seksa kepada mereka yang mensyirikkan Allah dan melakukan maksiat.

Dalam perjalanan mikraj, Nabi Muhammad SAW membuat kunjungan hormat kepada Nabi Adam AS dan rasul-rasul yang lain sehingga langit ke tujuh. Menurut Tafsir al-Maraghiy, sesungguhnya pada peristiwa ini terdapat suatu pengertian bahawa semua Rasul walaupun berlainan keturunan, zaman, bahasa dan budaya, namun mereka hormat-menghormati antara satu sama lain.

Perbuatan ini patut diambil iktibar semua manusia agar sentiasa menjalin persaudaraan, berkasih sayang, saling menghormati dan jauhi daripada perkara yang boleh menimbulkan perpecahan sesama sendiri.

Hadirin yang dikasihi Allah sekalian , Kemuncak daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah SWT memfardhukan ibadat solat fardhu sebanyak 5 waktu sehari semalam. Solat merupakan perhubungan kita dengan Allah SWT. Dengan sebab itu sewajarnya solat dilakukan dengan sempurna kerana solat adalah sebaikbaik pencegahan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut, ayat 45: “Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perkara keji dan mungkar”. Sesungguhnya solat adalah ibadat utama yang diibaratkan seperti tiang dalam sesebuah bangunan.

Hadis daripada Umar Bin al-Khattab Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: َ “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya bermakna ia mendirikan agama, sebaliknya bagi mereka yang meninggalkannya seolaholah meruntuhkan agama.” (Riwayat al-Baihaqi). Muslimin hadirin Jumaat sekalian ,

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita menghayati pengajaran Israk dan Mikraj Rasulullah SAW supaya dapat dijadikan panduan hidup kita. Antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Israk dan Mikraj adalah benar dan bukti kekuasaan Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dapat meningkatkan keimanan dan kesejahteraan hidup.

3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa penderhakaan kepada Allah akan mengundang kemurkaan-Nya. ِ

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.” (al-Israk : 60).
Tags: iman, israk, khutbah, mikraj
Subscribe

Posts from This Journal “iman” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments