mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Zakat Fitrah Satu Kewajipan”

Petikan Khutbah Jumaat 22 Mei 2020M / 29 Ramadhan 1441H: JAIS

“Zakat Fitrah Satu Kewajipan”.

Zakat fitrah bukan sekadar mengeluarkan RM7, RM14 atau RM21 seorang mengikut beras yang dimakan, tetapi mempunyai erti yang lebih besar. Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk jais.jpgmembersihkan orang yang berpuasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta menjadi makanan kepada orang-orang miskin.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Jelas ada dua objektif zakat fitrah.

Pertama, membersihkan orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan buruk, dan kedua, menjadi sumber kegembiraan kepada fakir miskin menjelang hari raya Eidul Fitri.

Ramadhan datang untuk mendididik kita merasai sendiri getirnya kemiskinan dan menjadikan kita lebih pemurah. Sayangnya, ramai yang berpuasa dan menunaikan zakat fitrah, tetapi masih gagal berubah.

Ingatlah, Ramadhan datang dengan pakej zakat fitrah untuk membersihkan hati kita dari daki kebakhilan yang mendatangkan dosa.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 180: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Zakat fitrah berbeza dengan ibadah puasa, kerana puasa ibadah peribadi. Orang yang berpuasa, dia mendapat pahala dan jika enggan, maka dia berdosa.

Orang lain tidak menerima kesan atas keengganannya. Sedangkan zakat fitrah, ia ibadah kehartaan yang mempunyai kesan langsung kepada orang lain.

Keengganan seseorang menunaikan zakat fitrah, maka orang lain (fakir miskin) turut menderita di hari raya. Inilah satu penanda aras bahawa ‘hakikat’ kesempurnaan ibadah puasa terkait dengan zakat fitrah.

Biar pun syarat sah puasa tidak tertakluk dengan zakat fitrah; namun kegagalan menunaikannya menunjukkan orang itu telah gagal mencapai darjat takwa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: Allah SWT membenci dan mengancam orang-orang yang bakhil. Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu Anhu menyatakan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang-orang yang menipu, mereka yang bakhil dan orang-orang yang suka menyebut-nyebut pemberiannya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Sesungguhnya orang yang berpuasa dengan sepenuh keimanan, akan menjadi orang yang pemurah selepas Ramadhan, bukan sahaja sanggup mengeluarkan zakat fitrah malah menunaikan zakat hartanya.

Ini kerana zakat dan sedekah itu tidak mengurangkan sedikitpun daripada hartanya. Abu Hurairah Radhiallahu Anhu menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda “Tidaklah berkurang harta seseorang itu dengan sebab dia bersedekah (termasuk zakat), dan Allah akan menambahkan kewibawaan seseorang yang pemaaf dan tidaklah seseorang itu bersikap tawadhuk melainkan Allah akan meninggikan (kedudukannya).” (Riwayat Muslim).


Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati beberapa pengajaran:

1. Umat Islam wajib menunaikan zakat Fitrah.

2. Umat Islam di Negeri Selangor hendaklah membayar zakat Fitrah di Negeri Selangor melalui amil yang dilantik ataupun secara online. ِ

“Dan dirikanlah sembahyang dan laksanakanlah zakat; serta taatilah Rasul; nescaya kamu beroleh rahmat”. (al-Nur: 56).
Tags: fitrah, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments