mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Eidul Fitri : Menginsafi Diri Menuju Reda Ilahi”.

Petikan Khutbah Eidul Fitri : 24 Mei 2020 JAIS

Menginsafi Diri Menuju Reda Ilahi

Hari ini kita menyambut Eidul Fitri dalam suasana berbeza tidak sepertimana tahun-tahun lalu. Dengan ujian yang diberikan oleh Allah SWT, ia tetap disambut dengan suasana gembira dirumah dengan mengadakan Solat Sunat Eidul Fitri bersama-sama ahli keluarga. jais.jpgSebagai umat Islam kita yakin disebalik ujian ini sudah tentu ada hikmahnya yang tersendiri namun kita terus dituntut untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Lebih-lebih lagi kita telah berjaya mengharungi bulan Ramadhan al-Mubarak dengan melakukan pelbagai ibadah, bersolat tarawih dirumah dan bertadarus bersama-sama keluarga termasuk secara online dengan rakan sekerja.

Oleh itu dipagi Eidul Fitri al-Mubarak yang penuh syahdu ini, dalam tempoh PKPB, marilah kita memperbanyak kesyukuran kepada Allah SWT bersama-sama keluarga kerana inilah tanda kesyukuran kita dalam melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Sesungguhnya kita digalakkan untuk mengagungkan Allah kerana ianya petanda hidayah daripada-Nya.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”

Eidul Fitri yang kita sambut ini adalah jambatan terbaik untuk menuju pengabdian kepada Allah. Setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu, kini kita adalah insan yang bersih suci dan kembali kepada fitrah Justeru marilah kita meneguhkan keimanan kita kepada Allah dengan menginsafi diri dan memelihara hubungan kita dengan Allah.

Ini termasuklah dengan menghitung diri berapa kali kita merujuk kepada Allah tatkala kita menghadapi masalah? Berapa banyak usaha yang kita lakukan ketika mana berhadapan ujian sama ada yang pahit atau manis yang dikurniakan kepada kita? Bukankah kita ada panduan yang jelas dan diajar oleh Rasulullah SAW, betapa kita harus berani dan yakin dengan ujian adalah sebagai satu cara untuk Allah didik kita. Adakah kita mempelajari sejarah betapa Islam telah mendidik kita agar berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi ujian ini.

Begitulah Islam telah mengajar kita bagaimana harus bertindak dalam berhadapan dengan ujian wabak dan bala’. Ini jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah Radhiallahu Anha yang pernah bertanya Rasulullah SAW mengenai wabak taun lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa itu adalah azab Allah yang diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah menjadikannya rahmat kepada orang-orang yang beriman. Tiadalah seseorang yang ditimpa bencana wabak ini lalu dia tinggal dalam negerinya dengan sabar dan percaya kepada takdir Allah, tidaklah menimpanya melainkan mengikut ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, nescaya dia mendapat kelebihan mati syahid.” (Riwayat Al-Bukhari).

Justeru, kita seharusnya melakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah. Jadikan langkah kita dalam mengharungi bulan Syawwal sebagai satu permulaan dalam meneruskan kehidupan yang terbaik sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Rapatkan hubungan silaturrahim sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai kerana Allah dengan cara yang dibenarkan. Jangan jadikan Syawwal sebagai bulan pembaziran makanan dan melakukan semula pelbagai dosa. Buang segala sifat buruk yang telah kita lakukan seperti menyebarkan berita-berita palsu ataupun menabur fitnah. Semoga usaha kita dalam meningkatkan kesedaran ini akan menjadikan kita insan yang insaf diri dan menuju reda Ilahi.

Mengakhiri khutbah Eidul Fitri pada pagi ini marilah sama-sama kita mengambil iktibar beberapa pesanan dan nasihat seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Eidul Fitri adalah nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri.

2. Umat Islam hendaklah menginsafi diri dengan istiqamah dalam melakukan perintah dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar dan memperbanyakkan solat agar pertolongan Allah SWT dapat diperolehi sepanjang masa.

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah berserta orangorang yang sabar.” (al-Baqarah : 153).
Tags: insaf, khutbah, redha
Subscribe

Posts from This Journal “insaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments