mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat :“Hukum Syara’ Menjaga Maslahat Manusia”.

Petikan Khutbah Jumaat 12 Jun 2020M /20 Syawwal 1441H: JAIS

“Hukum Syara’ Menjaga Maslahat Manusia”.

Hari ini adalah Jumaat ke-13 sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac yang lalu. Ujian Allah menerusi wabak pandemik COVID-19 masih berterusan dan belum pasti bila akan berakhir. Namun sebagai hamba Allah, kita diperintahkan supaya jais.jpgtetap meneruskan ibadah dan melaksanakan segala hukum yang ditetapkan oleh Syara’. Hukum-hakam syara’ bagi kategori taklifi ada lima, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Hukum wajib seperti solat fardhu lima waktu sehari semalam kekal wajib sama ada ketika wabak atau tidak. Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawwal ini juga kekal hukumnya sebagai sunat sama ada ketika wabak atau sebaliknya.

Namun ada ketikanya syara’ membenarkan kita mengambil rukhsah (keringanan) dalam situasi tertentu, demi menjaga kemaslahatan yang lebih utama.

Islam mengajar umatnya agar memelihara nyawa dan menjaga diri daripada sebarang penyakit yang memudharatkan. Hingga satu peringkat diharuskan seorang muslim untuk melafazkan kalimah kufur tapi hatinya tetap dengan keimanan bagi menyelamatkan dirinya daripada dibunuh.

Firman Allah SWT dalam surah al-NahlI ayat 106: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman”


Bagi orang yang sakit dan musafir pula diharuskan berbuka puasa pada bulan Ramadhan sekiranya membawa mudharat kepada dirinya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”.

Ini menunjukkan keharusan meninggalkan sesuatu yang wajib bagi memelihara nyawa dan mengelak kemudharatan.

Syariat Islam itu bersifat dinamik dan sesuai pada semua tempat, masa dan situasi. Pada masa yang sama, maslahat (kebaikan) manusia sangat dijaga dan dititik beratkan oleh Islam. Ajaran Islam bukan bertujuan untuk menyusahkan dan memudharatkan manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 78: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”.

Dalam situasi ujian pandemik COVID-19 ini, beberapa pertimbangan pelu diambil kira dalam menetapkan sesuatu hukum. Antaranya ialah kaedah ا iaitu sesuatu mudharat itu perlu dihilangkan,  iaitu sesuatu keterpaksaan boleh mengharuskan perkara yang dilarang, dan juga َ ر ْ سي ْ ي ا الت بُ ل ْ ج َ ت ُ ة ا ق َ ش َ لْا iaitu sesuatu kesukaran boleh mengundang keringanan.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa ketakutan dan sakit adalah keuzuran yang mengharuskan untuk meninggalkan kewajipan solat Jumaat dan berjemaah di masjid.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mendengar seruan (azan Jumaat) sedangkan tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya daripada mengikutinya (datang ke tempat solat Jumaat), mereka bertanya: apakah keuzuran itu? Nabi SAW menjawab: takut atau sakit, maka tidak akan diterima daripadanya solat yang dia lakukan.” (Riwayat Abu Daud).

Oleh itu, takut dan bimbang merebaknya wabak COVID-19 melalui perhimpunan ramai adalah keuzuran yang diterima oleh Syara’ untuk tidak menunaikan solat Jumaat mahupun berjemaah di masjid 

Berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 yang sedang dipantau secara berterusan oleh pakar-pakar kesihatan kerana masih belum ada penawarnya, sudah pasti pihak ulil amri ingin memastikan umat Islam dan institusi agama tidak terdedah kepada risiko kemudharatan yang lebih besar.

Kaedah fiqh ada menyatakan: “Menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mengambil kebaikan”.

Siyasah syar’iah yang melibatkan polisi, peraturan dan undang-undang syara’ pula telah menetapkan bahawa keputusan pemerintah asasnya adalah maslahat (kebaikan) kepada rakyat dan orang ramai.

“Keputusan dan tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahat”.

Oleh itu, orang ramai hendaklah yakin dan akur kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh Ulil Amri. Mentaatinya membawa kepada kebaikan dan mengingkarinya mengundang kemudharatan.

Mengakhiri khutbah kali ini, khatib ingin berpesan kepada hadirin sekalian agar mengambil pedoman-pedoman berikut:

1. Umat Islam wajib taat kepada segala perintah Allah dan larangannya sebagai bukti keimanan.

2. Umat Islam mestilah patuh kepada keputusan ulil amri dalam perkara selain maksiat.

3. Umat Islam hendaklah terus bermunajat dan berdoa kepada Allah agar ujian wabak COVID-19 segera diangkat.

“Dan jika Allah menimpakan (mengenakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mengenakan (menimpakan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (al-An’aam : 17).
Tags: hukum, khutbah, maslahat, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “maslahat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments