mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Rancang Kewangan Sejahtera Kehidupan”

Petikan Khutbah Jumaat 19 Jun 2020M /27 Syawwal 1441H: JAIS

“Rancang Kewangan Sejahtera Kehidupan”

Sesungguhnya harta dan wang ringgit yang kita miliki adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Justeru, ia perlu diurus, dirancang dan dibelanjakan menurut panduan syariat. Setiap wang ringgit yang kita perolehi dan belanjakan pasti akan ditanya di akhirat kelak. Inilah realiti yang wajar kita jadikan prinsip hidup kita dalam merancang harta dan kewangan kita. jais.jpg

Sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Lantaran itu kita perlu memastikan wang ringgit kita diurus dengan selamat dan tepat dengan perancangan kewangan yang kita sediakan.

Perancangan kewangan yang baik adalah untuk mencapai maqasid syariah sama ada ianya berbentuk dharuriyyat, hajiyyat atau tahsiniyyat. Dharuriyyat adalah keperluan asasi yang dengannya tidak dapat tidak ianya perlu ada dalam kehidupan kita seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Hajiyyat adalah keperluan bukan asasi yang diperlukan oleh sebahagian besar daripada kita untuk bekerja dan menjalani kehidupan seperti kenderaan dan telefon. Manakala tahsiniyyat adalah harta yang berbentuk kemudahan atau kesenangan yang dengannya merupakan tambahan daripada harta yang sedia ada seperti mempunyai rumah lebih daripada sebuah atau beberapa kenderaan.

Antara langkah-langkah dalam merancang kewangan yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim ialah:

Pertama: Memastikan sumber pendapatan yang halal dan mengelakkan dari segala sumber yang haram seperti hasil rasuah, riba, judi, curi dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 29: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Kedua: Mengawasi perbelanjaan dan mengawalnya dengan baik. Utamakan keperluan asas sebagai nafkah diri dan keluarga, seperti makan minum, tempat tinggal dan bayaran pinjaman bulanan sebelum berbelanja untuk kegunaan lain seperti aktiviti percutian dan hiburan.

Senaraikan kos perbelanjaan yang utama untuk diselesaikan, setelah itu baki dari perbelanjaan tersebut barulah digunakan untuk perkara lain, sesuai dengan tahap kemampuan kewangan kita.

Bak kata pepatah “Ukur Baju di Badan Sendiri”. Setiap ahli keluarga perlu dididik agar bijak berbelanja untuk mengelakkan pembaziran. Jangan mudah menyerahkan wang ringgit kepada ahli keluarga tanpa kawalan dan tujuan yang pasti.

Allah SWT telah menegaskan dalam Surah an-Nisa ayat 5: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”

Ketiga: Peruntukkan sebahagian daripada harta kita untuk membuat kebajikan supaya mendapat keberkatan dari rezeki yang Allah kurniakan. Amalkan suka berinfaq, membantu kaum kerabat yang memerlukan, menyumbang untuk kegiatan agama dan kemasyarakatan dan sebagainya. Ingatlah bahawa dengan berinfaq rezeki kita akan ditambah dan diberkati. Malahan, bukan itu sahaja, berinfaq juga akan menyebabkan rezeki tidak akan disempitkan dan sentiasa akan digantikan.

Firman Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 39: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hambahamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaikbaik Pemberi rezeki.”

Keempat: Peruntukkan sebahagian daripada wang yang diperolehi sebagai simpanan. Simpanan wang adalah perlu bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan di waktu kesempitan.

Setiap muslim perlu memastikan dirinya sentiasa bersedia menghadapi hari-hari mendatang dengan perancangan yang rapi dan persediaan yang jitu.

Dia juga akan sentiasa terpelihara dari sikap meminta-minta dan menagih simpati orang lain di waktu terdesak. Islam juga menyarankan agar harta yang dimiliki dikembangkan atau dilaburkan, namun aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak dan sah di sisi Islam seperti pelaburan secara musyarakah (perkongsian) dan mudharabah (pelaburan).

Konsep mudharabah dan musyarakah ini mestilah dipatuhi rukun-rukunnya dan memenuhi syarat-syaratnya sepanjang pelaburan dijalankan.

Di samping itu, janganlah pula kita melupakan tanggungjawab kita terhadap harta yang dikurniakan Allah SWT kepada kita iaitu kewajipan menunaikan zakat.

Zakat berperanan membersihkan harta dan jiwa kita daripada noda dan dosa serta menambahkan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat

Mengakhiri khutbah kita pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran berikut:

Pertama: Umat Islam hendaklah memastikan segala harta yang diperolehi adalah secara halal dan mematuhi syariah serta membelanjakannya mengikut jalan yang diredhai Allah SWT.

Kedua: Umat Islam hendaklah membuat perancangan kewangan yang baik bagi memastikan kelangsungan hidup diri dan kesejahteraan keluarga terutamanya selepas tempoh moratorium yang ditamatkan oleh pihak bankbank.

Ketiga : Umat Islam digalakkan untuk mengembangkan harta supaya manfaatnya dapat dirasai oleh orang ramai menerusi zakat, perniagaan, pelaburan dan sumbangan amal jariah.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (al-Munafiqun: 10).
Tags: kewangan, khutbah, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “kewangan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments