mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Membaca al-Quran ketika sujud, rukuk makruh

Kadang-kadang saya melakukan sujud syukur apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan. Ustazah di tempat saya belajar menyarankan supaya membaca ayat 19 daripada surah al Naml ketika sujud berkenaan. Ini kerana makna ayat tersebut amat bertepatan dengan makna syukur kepada Allah. Adakah bacaan lain selain daripada ayat tersebut?

Jawapan:

“Adapun ketika rukuk, hendaklah kamu agungkan kebesaran Tuhan, dan ketika sujud pula hendaklah kamu berdoa dengan bersungguh-sungguh, (Kerana ketika itu) Allah akan memakbulkan doa kamu” - Riwayat Muslim

Sujud antara amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana ketika sujud, seseorang hamba akan berasa rendah diri dan tunduk kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pernah diriwayatkan sujud begitu lama ketika qiamullail sehingga hampir menyamai masa seseorang membaca surah al-Baqarah, al-Nisa dan al-Imran.

Mungkin umat baginda tidak mampu melakukan sujud selama itu. Sahabat baginda yang bernama Huzaifah yang meriwayatkan hadis ini menyatakan bahawa Nabi hanya membaca: “Subhana rabbi al-a’la” saja seperti yang dibaca dalam solat. (HR Muslim)

Oleh itu, zikir yang patut diberi perhatian oleh seseorang ketika sujud adalah membanyakkan ucapan tasbih dan berdoa. Boleh berdoa dalam hati jika tidak menguasai bahasa Arab. Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah SAW mengucapkan tasbih dengan banyaknya dan berdoa memohon keampunan ketika rukuk dan sujud.

Baginda juga kadang-kadang memohon keredaan Allah dan dihindarkan daripada seksaan Allah SWT. (HR Bukhari dan Muslim). Ibnu Abbas yang menjadi sepupu Baginda pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Adapun ketika rukuk, hendaklah kamu agungkan kebesaran Tuhan, dan ketika sujud pula hendaklah kamu berdoa dengan bersungguh-sungguh, (Kerana ketika itu) Allah akan memakbulkan doa kamu.” (HR Muslim).

Oleh itu, sama ada sujud dalam solat atau di luar solat termasuklah sujud syukur, bacaan yang patut diamalkan adalah tasbih, doa dan mengucapkan syukur sesuai dengan amalan Rasulullah SAW.

Walaupun membaca al-Quran itu satu ibadah, namun masanya bukanlah ketika rukuk atau sujud. Terdapat larangan yang jelas agar kita tidak membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud.

Saidina Ali menceritakan bahawa Rasulullah SAW melarang beliau membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud. Cerita Saidina Ali ini sebenarnya disokong oleh satu riwayat daripada Ibnu Abbas yang mana baginda SAW bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya aku ditegah membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud.” (HR Muslim)

Berdasarkan fatwa Imam Nawawi, membaca Al-Quran ketika rukuk dan sujud adalah makruh. Oleh itu bacaan seperti yang diajar oleh guru puan, eloklah ditinggalkan kerana bersalahan dengan apa yang disaran oleh Rasulullah SAW.


Azhar Ab Wahab Sumber: Berita Harian Online Bicara Agama Rabu , 15 Ogos 2012, 26 Ramadan 1433 H
Tags: al-quran, rujuk, sujud
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments