mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Peliharalah Solatmu

Petikan Khutbah Jumaat 03 Julai 2020M /11 Zulkaedah 1441H: JAIS

Peliharalah Solatmu

Solat merupakan suatu kefarduan bagi setiap umat Islam yang mesti dilaksanakan pada setiap hari dalam waktu yang telah ditetapkan.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 103: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Umat Islam yang menjaga solat mereka akan digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Oleh itu, mereka berhak menjadi hamba Allah SWT yang patuh pada perintah-Nya dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Ibadah solat turut melatih diri kita supaya menjadi manusia yang berdisiplin dan menjaga waktu dengan mendirikan solat dalam waktu yang telah ditetapkan.

Al-Quran turut menegaskan bagi mereka yang menjaga dan mendirikan solat dengan sempurna, penuh khusyuk dan ikhlas akan terdidik jiwa daripada melakukan maksiat.

Firman Allah SWT dalam surah al- ‘Ankabut ayat 45: “Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.”

Solat juga dapat membersihkan umat Islam daripada dosa-dosa yang telah dilakukan. Maka, dengan pembersihan tersebut akan menjadikan hati yang sentiasa suci, seterusnya akan menjadikan kita umat Islam yang sentiasa berada dalam kebaikan dan berbudi pekerti yang baik.

Hadis daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan solat yang lima seperti sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah seseorang daripada kamu, setiap hari dia mandi di dalamnya sebanyak lima kali”. (Riwayat Muslim)

Kewajipan mendirikan solat terletak di atas bahu umat Islam yang mukallaf baik lelaki mahupun wanita. Allah SWT melarang keras umat Islam meninggalkan solat secara sengaja walau dalam apa jua keadaan sekalipun serta mengancam mereka yang melalaikannya.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Muddaththir ayat 42 dan 43: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

Rasulullah SAW turut membuat perbandingan di antara orang yang beriman dengan yang kufur sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Beza di antara seseorang (yang beriman) dengan yang syirik dan kufur adalah meninggalkan solat”.

Perlaksanaan solat dalam Islam perlulah merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis daripada Malik bin AlHuwairith Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat”. (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa perintah untuk mendirikan solat lima waktu datangnya daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah memastikan solat yang didirikan dalam keadaan sempurna dan menepati apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui para ulama.

3. Umat Islam hendaklah menjaga solat kerana apabila menjaga solat, maka terjagalah perkara-perkara yang lain dengan baik.

“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (al-Mukminun : 9-11).
Tags: khutbah, solat
Subscribe

Posts from This Journal “solat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments