mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Data Anda Masa Depan Kita

Petikan Khutbah Jumaat 17 Julai 2020M/ 25 Zulkaedah 1441H JAKIM

(BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA 2020)

Data Anda Masa Depan Kita

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana sejak kebelakangan ini, Negara kita semakin pulih dari pandemik wabak covid-19. Namun, harus diingat, bahawa keadaan ini belum terjamin sepenuhnya.
jakim.jpg
Kita semua masih mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha memerangi pandemik itu dengan mempertingkatkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sebagai umat Islam, kita perlu bermuhasabah dengan musibah yang berlaku pada hari ini.

Dalam pada kita mematuhi setiap garis panduan dan prosedur standard yang ditetapkan, kita juga jangan lupa untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT. Itulah antara kunci utama yang sering kita abaikan dalam menghadapi sesuatu musibah atau ujian.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah al-Israa’ ayat 16)

Sedarlah bahawa kemaksiatan dan kemungkaran yang berleluasa seperti zina, pecah amanah, mengubah ciptaan Allah yang ada pada diri, menipu dalam timbangan, minum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa dan lain-lain lagi hanya akan mengundang murka dan bala bencana dari Allah SWT. Apatah lagi sekiranya pelaku dosa-dosa tersebut tidak insaf dan bermegah-megah melakukan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah muncul kejahatan pada sesebuah kaum sehinggalah mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan akan merebak dalam kalangan mereka wabak taun serta penyakit-penyakit yang tidak pernah muncul dalam kalangan generasi sebelum mereka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Rasulullah SAW juga ada memberikan peringatan bahawa bala yang diturunkan oleh Allah SWT itu turut akan menimpa seluruh umat manusia walaupun ada dalam kalangan mereka tersebut orang-orang yang soleh.

Rasulullah SAW bersabda:“Apabila munculnya kejahatan di atas muka bumi maka Allah akan menurunkan azab-Nya kepada seluruh penduduk bumi. Aku (Ummu Salamah) bertanya: Sekalipun dalam kalangan mereka ada orang soleh? Maka Rasulullah SAW menjawab: Ya, meskipun dalam kalangan mereka ada orang soleh. Mereka ditimpa sepertimana yang ditimpa oleh orang ramai kemudian mereka kembali kepada rahmat Allah.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Marilah kita sama-sama memperbetulkan diri kita dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Bertaubatlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Mohonlah ampun kepada Allah SWT atas segala dosa yang telah kita lakukan.

Usah berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Marilah juga kita bersama-sama mengimarahkan semula masjid-masjid. Kita tetap teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar wabak covid-19 akan lenyap seluruhnya

Sempena Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 juga, yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan kaedah e-census atau bancian dalam talian bermula pada 7 Julai hingga 30 September 2020, dan fasa kedua yang menggunakan kaedah temuramah secara bersemuka pada 7 Oktober hingga 20 Oktober 2020 ini, marilah sama-sama kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pembanci-pembanci dari Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai satu tanggungjawab kita kepada Negara bagi melancarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-Nahl ayat 112)
Tags: banci, data, khutbah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments