mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Membangunkan Asnaf Tanggungjawab Bersama

Petikan Khutbah Jumaat 17 Julai 2020M/ 25 Zulkaedah 1441H JAWI

Membangunkan Asnaf Tanggungjawab Bersama

Setiap muslim dituntut untuk saling tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain. Oleh kerana itu, zakat merupakan satu bentuk bantuan daripada muslim yang berkemampuan kepada orang-orang fakir, miskin dan asnaf-asnaf yang lain selaras dengan firman Allah SWT
jawi_logo.jpgdalam surah At-Taubah ayat 60 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan  orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Secara umumnya, hasil zakat yang diperolehi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan digunakan untuk membantu golongan asnaf bagi memperbaiki taraf kehidupan mereka.

Golongan ini disantuni dan dibantu sepanjang tahun melalui bantuan pendidikan, perlindungan, kemahiran, perniagaan dan lain-lain sejajar dengan keperluan masyarakat kini.

Malah mereka dibangunkan dan dimotivasikan supaya dapat berdikari untuk terus hidup dengan cara memanfaatkan wang agihan zakat yang diperolehi. Hasilnya, ada sebahagian daripada mereka yang dahulunya penerima zakat, kini telah menjadi pembayar zakat.

Sebagai pembayar zakat, secara tidak langsung kita telah membantu golongan asnaf untuk meneruskan kehidupan mereka. Inilah gaya hidup orang Islam yang sentiasa prihatin dengan kesusahan saudara-saudara mereka yang berada di sekeliling.

Ia bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah SWT akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang mendapat kesusahan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.”

Justeru, mimbar mengambil kesempatan ini untuk menyeru para jemaah sekalian untuk kita sama-sama turut membantu dalam pembangunan asnaf dengan mengeluarkan zakat.

Hal ini secara tidak langsung dapat membantu pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menyusun lebih banyak lagi program-program pembangunan kepada asnaf dan membantu mereka untuk memutuskan kitaran kemiskinan serta meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi firman Allah SWT di dalam surah At Taubah ayat 103: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang  buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Tags: asnaf, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “asnaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments