mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Bijak Mengurus Hutang

Petikan Khutbah Jumaat 24 Julai 2020M/ 3 Zulhijjah 1441H JAWI

Bijak Mengurus Hutang

Negara kita masih lagi berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.


Dalam usaha membendung wabak ini, kerajaan telah jawi_logo.jpgmengambil langkah drastik dengan mewartakan Perintah Kawalan Pergerakan.


Kita telah mula menjalani kehidupan dengan norma baharu dalam segala urusan harian sama ada di rumah, tempat kerja, tempat-tempat awam termasuklah masjid dan surau.


Sememangnya kita sentiasa diuji Allah SWT. Namun, tempohhampir lima bulan yang telah kita lalui ini merupakan satu bentuk ujian yang besar dan berat yang tidak pernah kita bayangkan selama ini.


Wabak COVID-19 bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kesihatan, malah turut menjejaskan sumber pendapatan isi rumah.


Justeru, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan termasuklah pemberian moratorium atau penangguhan pembayaran ansuran selama enam bulan bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat.


Langkah ini sebenarnya bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 280 yang bermaksud :  “ Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

Tempoh penangguhan bayaran ansuran pinjaman akan berakhir kira-kira dua bulan lagi.

Justeru, mimbar ingin menasihatkan sidang Jemaah sekalian supaya segera membuat persiapan dengan mengambil langkah-langkah berikut :


Pertama : Semak semula kedudukan kewangan atau bajet untuk keperluan harian.
Kedua : Hubungi pihak bank untuk menyemak bayaran ansuran bulanan yang tertangguh.
Ketiga : Bincanglah dengan pihak bank tentang pelan bayaran bersesuaian dengan kemampuan masing-masing sekiranya perlu
Keempat : Jika perlu, dapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu dan Skim Resolusi Hutang Kecil bagi PKS.


Mimbar ingin menasihatkan kepada jemaah yang tiada kekangan kewangan untuk segera melunaskan hutang dan usahlah bertangguh-tangguh.


Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

Bermaksud : "Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak (membayar hutang) adalah zalim.”


Sesungguhnya dengan membayar hutang, hati kita akan menjadi tenang kerana hidup kita telah bebas daripada bebanan hutang. Pihak yang memberi hutang pula dapat memanfaatkan wang yang dibayar untuk digunakan bagi aktiviti lain yang dapat merancakkan ekonomi negara.


Mengakhiri khutbah, marilah kita menguruskan hutang dengan bijak demi menjamin kesejahteraan dan ketenangan hidup di dunia hingga akhirat.


Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 283 : “Dan jika kamu berada dalam musafir sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang. Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
Tags: hutang, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hutang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments