mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Pahlawan Sebenar

Petikan Khutbah Jumaat 24 Julai 2020M / 03 Zulhijjah 1441H: JAIS

Pahlawan Sebenar

Pahlawan Negara ialah mereka yang telah banyak berkorban dan berjasa kerana memelihara keamanan dan keselamatan negara.

jais.jpgSemua anggota tentera, polis, pertahanan awam, pegawai kesihatan dan lain-lain pejuang negara yang merupakan barisan hadapan negara sanggup menggadai diri dan nyawa demi memastikan kita dapat menikmati keadaan aman dan sejahtera pada hari ini.

Mereka berdepan dengan bermacam-macam cabaran untuk kepentingan kita. Mereka ikhlas dalam perjuangan kerana Allah dan diberi ganjaran yang berterusan oleh Allah.

Diriwayatkan daripada Sahl Ibn Saad al-Sa’idi Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya”. (Riwayat Al-Bukhari).

Begitulah tingginya martabat seorang pahlawan yang diberikan oleh Allah kerana pengorbanan dan perjuangan mereka.

Mereka bertugas tanpa mengira masa, tempat, cuaca dan keadaan apa sekalipun asalkan negara dalam keadaan aman, harmoni dan selamat.

Sejarah Islam membuktikan, para pejuang dan pahlawan Islam sanggup mengorbankan diri mereka demi menegakkan kesucian agama dan kedaulatan negara. Mereka meletakkan kepentingan umum melebihi daripada segalanya.

Antara mereka yang mempertahankan negara dari tentera-tentera musyrikin seperti Saiyidina Hamzah, Mus’ab bin Umair, Khalid bin Al-Walid dan Saad bin Abi Waqqas. Manakala pejuang-pejuang yang memelihara dan mempertahankan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah dari serangan puak-puak al-Khawarij, Muktazilah dan Syiah adalah seperti Imam abu al-Hasan al-Asy’ary, Imam Abu Mansur al-Maturidi, Imam Muhammad bin Idris al-Shafei dan Imam Abu Hamid alGhazali.

Begitu juga sejarah negara kita sendiri yang memiliki pahlawanpahlawan negara antaranya Leftenan Adnan, Tuan Guru Abd Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi telah terkorban menggadaikan nyawa demi menghapuskan penjajahan tentera dan pemikiran yang radikal, pengganas komunis dan pengkhianat negara.

Sesungguhnya perjuangan mereka ini tidak sia-sia kerana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 111 : “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.”

Seseorang pahlawan bukan sekadar berjuang mengangkat senjata menentang musuh, tetapi mereka sanggup berkorban menjaga kesejahteraan negara daripada ancaman luar dan penceroboh tanah air kita.

Selain itu, kegigihan mereka memastikan rakyat patuh kepada arahan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 pun menjadi tanggungjawab mereka. Begitu besar peranan mereka untuk kesejahteraan dan kesihatan kita semua Nikmat keamanan pada hari ini tidak akan dapat dirasai tanpa pengorbanan para pahlawan.

Oleh itu, kita hendaklah sama-sama mempertahankannya daripada diganggu gugat oleh anasir yang boleh merosakkannya.

Sikap mencaci dan memperlekeh tugas malah tidak mempedulikan arahan wajiblah dijauhi kerana ia menjadi punca kepada kerosakan dalam negara. Sebaliknya kita mestilah mematuhi serta menghargai dan berterima kasih kepada mereka kerana tugas mereka adalah semata-mata untuk kepentingan dan kemudahan kita.

Oleh itu semangat perjuangan ini yang tidak putus-putus hendaklah disemai dan ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini.

Didiklah mereka dengan semangat berkorban dan disiplin yang tinggi sebagaimana ditunjukkan oleh pahlawan negara.

Kasihilah pahlawan negara dengan menghargai jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan. Keamanan dan kesejahteraan pada hari ini adalah sumbangan mereka.

Justeru, bersyukurlah kepada Allah yang telah mengurniakan pahlawanpahlawan berjasa kepada Negara kita yang berkorban demi ketenteraman Negara kita.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah disampaikan.

Antaranya ialah:

1. Umat Islam wajiblah meyakini bahawa mempertahankan agama dan negara agar terus kekal aman dan sejahtera adalah perintah daripada Allah.

2. Umat Islam hendaklah menghargai keamanan dan kesejahteraan negara ini dengan menjadi warga negara yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa mendoakan agar perjuangan para pahlawan diterima oleh Allah SWT dengan ganjaran yang berpanjangan.

4. Umat Islam adalah pejuang atau pahlawan dalam lingkungan dan cabaran masing-masing. Maka perbetulkanlah niat dan ikhlaskanlah diri dalam menghadapi cabaran akan datang.

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab : 23).
Tags: khutbah, pahlawan
Subscribe

Posts from This Journal “pahlawan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments