mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Aidul Adha : Pengajaran Ibadah Korban

Petikan Aidul Adha 10 Zulhijjah 1441H:JAIS

Pengajaran Ibadah Korban

Hari ini kita menyambut Eidul Adha dengan penuh rasa ketakwaan dan kesyukuran. Kita sambut dengan bertakbir, solat sunat Eidul Adha, mendengar khutbah dan menyembelih binatang korban. Walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jais.jpgPemulihan (PKPP), Eidul Adha tetap dirayakan dengan penuh disiplin, mengikut SOP ditetapkan dan kawalan kendiri masing-masing bagi mengelakkan sebarang penularan semula Covid-19

Eidul Adha mengajar kita erti sebuah pengorbanan yang bersifat Taabudiah atau kepatuhan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi, yang tidak boleh dipersoalkan dan dipertikaikan mengikut logik akal. Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Besar lagi Maha bijaksana dengan segala ketetapan-Nya.

Segala ruang lingkup kehidupan manusia hanya kerana Allah. Maha Suci Allah dari segala sifat makhluk. Kita sebagai manusia adalah serba lemah dan hina di sisi Allah. Namun Allah Maha Pengasih dengan memberikan pelbagai nikmat antaranya nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kekuatan untuk terus mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Oleh itu, marilah kita membesarkan Al-Khalik dengan bertakbir sehingga 13 Zulhijjah dengan penuh rasa insaf dan syukur.

Ibadah korban adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah korban adalah satu ekosistem kemasyarakatan yang berkait rapat dengan rangkaian kehidupan si kaya dan si miskin, rangkaian kehidupan dan kematian, dan rangkaian pemupukkan kehidupan bermasyarakat seterusnyanya.

Lalu kebaikan yang terserlah adalah terpaut eratnya hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Allah menyuruh umat Islam untuk melakukan ibadah korban berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Hajj ayat 36: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.”

Ibadah korban juga dapat mengajar dan mendidik kita bahawa berkorban adalah suatu perkara yang memerlukan langkah dan strategi yang betul, berilmu pengetahuan dan tekad yang jitu untuk melaksanakannya.

Bukan suatu perkara yang mengikut hal keadaan biasa, dan kewangan yang ada. Usaha bagi mengambil bahagian dalam ibadah korban memerlukan langkah-langkah yang memungkinkan ianya dapat dilaksanakan setiap tahun.

Tidak kira sama ada melakukan korban dengan satu bahagian atau lebih. Disitulah hakikat ketakwaan yang panjang dan tidak pernah putus kepada Allah.

Allah hanya menerima ibadah korban jika dilaksanakan semata-mata kerana takwa kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hajj ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.”

Pengajaran yang besar dalam ibadah korban ini ialah menghayati dan mencontohi semangat pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. Nabi Ibrahim A.S. melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya yang dikasihi iaitu Nabi Ismail A.S.

Perintah menyembelih ini adalah satu ujian yang amat berat. Nabi Ibrahim A.S. korbankan kasih anak dengan memilih keredhaan Allah. Ini bererti Nabi Ibrahim A.S. telah termasuk dalam golongan orang yang berbuat kebaikan. Maka dengan itu, Allah membalas orang yang melakukan kebaikan dengan kegembiraan.

Allah berfirman dalam surah As-Saffat ayat 107: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”

Mengimbau pengorbanan Nabi Ibrahim A.S., umat Islam hendaklah tunduk dan patuh dengan melaksanakan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan sentiasa ingat kepada ancaman Allah jika tidak mematuhi perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 14: “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

Oleh itu, setiap pengorbanan untuk mencari keredhaan Allah akan dibalas dengan kebaikan dari Allah. Sebagai contoh, Allah turunkan ujian besar dengan virus Covid-19 yang membawa maut ratusan ribu manusia di seluruh dunia, maka sudah tentu memerlukan pengorbanan dan kesabaran.

Memerlukan kepatuhan yang tinggi kepada ketetapan yang dibuat oleh pemerintah atau ulil amri. Berkorban untuk tidak melakukan yang biasa, sebaliknya hari ini sebarang langkah dan tindakan yang silap akan mengundang kesan yang berbahaya dan menjadi malang kepada orang lain, keluarga, masyarakat dan negara. Alhamdulillah, dengan berkat tabah dan taat, maka Allah hilangkan virus ini sedikit demi sedikit untuk kita jalani kehidupan dengan lebih baik dan ceria.

Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung.

Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah هللا إال إله ال ,prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan al-Hadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.

Sebagai mengakhiri khutbah, bersama ini disampaikan beberapa pengajaran penting dalam ibadah korban:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa amalan ibadah korban adalah suatu yang menambah keyakinan bahawa hanya Islam sahaja sebagai cara hidup sahih atau Ad-Din di sisi Allah.

2. Umat Islam wajib mensyukuri dan membesarkan Allah setiap waktu.

3. Umat Islam hendaklah ikhlas, redha dan sabar dalam melaksanakan perintah Allah dan pemimpin.

4. Umat Islam hendaklah mencontohi kesetiaan Nabi Ibrahim A.S. dalam mengutamakan pelaksanaan perintah Allah SWT.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orangorang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (al-Saffat : 108-109).
Tags: aidiladha, khutbah, korban
Subscribe

Posts from This Journal “aidiladha” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments