mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Idul Adha: Pengorbanan Dalam Pengorbanan

Petikan Khutbah Idul Adha 10 Zulhijjah 1441H JAKIM

Pengorbanan Dalam Pengorbanan

Tibanya Idul Adha mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Idul Adha pada tahun ini pastinya sedikit berbeza berbanding Idul Adha yang diraikan sebelum ini.
jakim.jpg
Kita menyambut Idul Adha pada kali ini dengan suatu kebiasaan baharu (new normal) dengan menuruti garis panduan dan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.


Pastinya juga, ibadah haji pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan sebagaimana sebelum ini seperti yang diputuskan oleh Kerajaan.


Keputusan itu tidak lain merupakan salah satu usaha menjaga nyawa yang termasuk dalam Maqasid al-Syariah. Idul Adha sinonim dengan ibadah penyembelihan binatang ternakan.


Mengambil pengajaran dari Kisah Nabi Ibrahim yang patuh kepada arahan Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.


Kita juga seharusnya patuh dan taat kepada segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.


Pada hari ini dan hari-hari Tasyriq (11 – 13 Zulhijjah), sebahagian kita akan melaksanakan ibadah korban. Tunaikanlah ibadah korban mengikut kaifiat yang benar di sisi Islam.


Bahagikanlah daging-daging korban dengan betul kepada yang berhak menerimanya. Berdasarkan sirah, Rasulullah SAW sendiri telah melaksanakan ibadah korban dengan dua ekor kibasy yang cantik menarik, berwarna putih bersih bercampur hitam dan bertanduk.


Rasulullah SAW juga menyembelih sendiri haiwan korban tersebut. Ingatlah bahawa ibadah korban bukanlah yang dimaksudkan dengan menyembelih binatang ternakan semata-mata, bahkan tuntutan sebenar melaksanakan korban ialah pada keikhlasan, pengharapan, dan ketakwaan kepada Allah SWT.


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 37:“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikanlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orangorang yang berusaha supaya baik amalnya”


Menularnya wabak Covid-19 memberi banyak pengajaran kepada kita semua. Dalam usaha Negara memerangi pandemik wabak ini, para petugas barisan hadapan telah memainkan peranan yang sangat penting sejak awal lagi bagi memastikan usaha memutuskan rantaian jangkitan.


Usaha ini juga menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama rakyat yang menunjukkan kepatuhan yang tinggi terhadap perintah-perintah yang dibuat dari semasa ke semasa, juga ia berlaku dengan izin Allah SWT.


Namun, harus diingat bahawa wabak ini belum berakhir sepenuhnya. Maka wajib bagi kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran serta terus bermunajat kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan.


Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh kita semua. Mudah-mudahan dengan kepatuhan dan ketaatan yang ditunjukkan, akan dapat memutuskan rantaian jangkitan covid-19 ini. Insya-Allah.


Firman Allah SWT:“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabuut ayat 69)
Tags: aidiladha, khutbah, korban
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments