mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Saudaraku Dialah Saudaraku

Petikan Khutbah Jumaat 31 Julai 2020M / 10 Zulhijjah 1441H: JAIS

Saudaraku Dialah Saudaraku

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita meraikan Eidul Adha tahun ini. Kita juga dapat melaksanakan ibadah korban yang disyariatkan oleh Allah SWT. Dalam pelaksanaan korban, kita bersama-sama menginfakkan jais.jpgharta, kerja bergotong royong dan mengagihkan daging korban kepada para jemaah.

Amalan ini bukan sahaja sebagai ibadah, tetapi secara tidak langsung telah menjalin silaturrahim dan merapatkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan kita. Sesungguhnya persaudaraan menurut Islam bukan sahaja pada keturunan, suku sakat atau bangsa, tetapi persaudaraan kita adalah kerana satu agama satu akidah dan satu kiblat.

Justeru, orang yang bersaudara mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap saudaranya sesama Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Menurut Tafsir al-Maraghiy, orang mukmin itu berketurunan daripada satu pangkat iaitu iman yang menyebabkan mereka memperoleh kebahagiaan yang abadi. Hubungan dua orang bersaudara di dalam agama adalah seperti hubungan nasab diantara dua orang yang bersaudara dan mempunyai tanggungjawab tertentu.

Apakah tanggungjawab kita terhadap saudara kita? Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis beberapa larangan yang tidak boleh kita akukan kepada saudara kita, sebagaimana hadis yang daripada Abu Hurairah Radhialllahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa itu disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim).

Selain daripada itu, kita dikehendaki juga menutup keaiban saudara kita daripada diketahui oleh orang lain sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga memberi ingatan seseorang yang bermusuh dengan saudaranya diakhirat kelak tidak akan masuk syurga. Sebagaimana hadis daripada Jubair bin Muth’im Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” (Riwayat Muslim).

Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung. Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah هللا إال إله ال ,prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan alHadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.

Tahun ini kita diuji oleh Allah SWT dengan gejala Covid-19, tetapi dengan kerjasama saudara, seluruh rakyat Malaysia, maka musibah ini kelihatan berkurangan dengan izin Allah SWT. Adalah diharapkan kerjasama ini terus diamalkan supaya keadaan Negara kembali seperti sediakala.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa menjalin persaudaraan dalam kalangan umat Islam adalah satu perintah dari Allah SWT.

2. Setiap umat Islam ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan terhadap umat Islam yang lain.

3. Umat Islam yang berbalah sesama saudara seagama akan menerima siksaan yang pedih diakhirat kelak

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Ali Imran : 105).
Tags: khutbah, saudara
Subscribe

Posts from This Journal “saudara” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments