mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Hakikat Pengorbanan

Petikan Khutbah Jumaat 10 Zulhijjah 1441H/ 31 Julai 2020M JAWI

Hakikat Pengorbanan

Pandemik COVID-19 yang masih belum reda di negara kita tentunya telah memberi kesan yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat.

Ia memerlukan pengorbanan semua dalam memastikan penularannya dapat dibendung lebih-lebih lagi para petugas barisan hadapan.
jawi_logo.jpg
Mereka telah banyak berkorban masa dan tenaga demi memastikan masyarakat terpelihara daripada dijangkiti wabak ini. Inilah contoh pengorbanan yang mesti kita hargai dengan sama-sama mematuhi setiap garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Zulhijjah mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan Allah SWT supaya mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS.

Ini adalah nilai pengorbanan yang cukup tinggi di sisi Allah SWT kerana ia bukan sahaja menguji kesabaran Nabi Ibrahim AS tetapi menduga sejauh mana ketakwaan baginda kepada Allah SWT.

Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.

Ibadah korban memerlukan kesungguhan dan kesanggupan mengorbankan harta. Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi yang sedang kita hadapi hari ini, Islam amat menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik.

Justeru, Ibadah korban dapat mengikis perasaan tamak dan pentingkan diri sendiri. Seterusnya, ia dapat menimbulkan dalam diri perasaan ingin berkongsi nikmat harta dengan orang lain yang lebih memerlukan.

Sebagai orang beriman, janganlah sama sekali kita merasa rugi dan sia-sia atas sesuatu pengorbanan yang telah dilakukan, kerana sesungguhnya Allah SWT pasti akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.

Sesungguhnya dalam Ibadah korban itu mengandungi nilai falsafah yang sangat mendalam kerana pada hakikatnya korban adalah ujian keimanan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT.

Inilah hakikat sebenar penyembelihan haiwan korban sebagaimana yang dijelaskan Allah SWT menerusi surah al-Haj, ayat 37 : “Daging-daging binatang sembelihan dan darahnya itu sekali kali tidak dapat sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidaklah menghendaki atau meminta rezeki daripada hamba-Nya, bahkan Dialah yang memberi rezeki tersebut. Apa yang dituntut oleh Allah ialah takwa di dalam hati mereka yang melaksanakan ibadah korban.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama menghayati hakikat pengorbanan melalui ibadah korban dan mengambil semangat untuk berkorban harta benda dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 34: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat ."
Tags: khutbah, korban
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments