mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Bijak Memanfaat Peluang

Petikan Khutbah Jumaat 7 Ogos 2020M/ 17 Zulhijjah 1441H JAKIM

Bijak Memanfaat Peluang

Kita masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kita juga telah menjalankan norma baharu dalam kehidupan ini sama ada di rumah, di tempat kerja, ataupun di tempat-tempat awam termasuklah di masjid.
jakim.jpg
Sejak awal arahan Perintah Kawalan Pergerakan, pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan bagi membantu kita menghadapi pandemik wabak Covid-19 ini.

Wabak ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan kita bahkan ia telah menjejaskan hampir seluruh urusan kehidupan kita. Itulah ujian yang sedang kita lalui pada waktu ini.

Bersabarlah, dan teruskan dengan kawalan kendiri. Janganlah pula kita bersikap sambil lewa.

Dari segi ekonomi pula, wabak ini nyata telah memberi kesan yang sangat besar kepada sumber pendapatan isi rumah.

Antara inisiatif kerajaan dalam membantu kita menghadapi wabak ini ialah dengan pemberian moratorium atau penangguhan pembayaran ansuran selama enam bulan yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat.

Langkah yang dibuat ini bertepatan dengan maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 280: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)”.

Menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menguruskan hal kewangan dan harta dengan baik, terutamanya dalam soal pengurusan hutang dan pembiayaan.

Persediaan awal perlu dilakukan bagi memudahkan kita melunaskan hutang dan membayar balik pembiayaan yang telah kita ambil.

Berundinglah dengan pihak bank bagi mendapatkan persetujuan bersama sekiranya keadaan kewangan semasa tidak mengizinkan untuk menyambung semula bayaran ansuran seperti biasa. Langkah ini akan memudahkan urusan kita dan pihak bank pada masa hadapan.

Dalam tempoh moratorium yang diberikan ini juga, janganlah kita bersikap sambil lewa dan mengambil kesempatan untuk bermewah-mewah.

Bagi mereka yang tiada kekangan kewangan, segeralah lunaskan segala hutang.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: “Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak (membayar hutang) adalah zalim” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Beberapa langkah persediaan boleh dibuat sebagai persediaan dalam tempoh moratorium ini;

i. Rancang dan atur semula kedudukan kewangan dan perbelanjaan untuk keperluan harian.

ii. Dapatkan maklumat dari pihak bank bagi menyemak ansuran hutang yang tertangguh.

iii. Bincang dengan pihak bank tentang pelan bayaran bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.

iv. Boleh juga dapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu dan Skim Resolusi Hutang Kecil bagi PKS.

Hutang, jika dibayar akan menyebabkan hidup kita lebih tenang.

Dalam masa yang sama, pihak yang memberi hutang juga akan dapat memanfaatkan wang yang dibayar dalam usaha memulihkan ekonomi Negara ini.

Sikap berdisiplin untuk melunaskan tanggungjawab hutang merupakan sikap yang disukai Allah dan dijanjikan untuk memperoleh bantuan daripada-Nya.

Ia juga mempunyai impak positif bukan setakat kepada individu, namun kepada masyarakat dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Justeru, rancanglah dengan baik kewangan masingmasing dalam tempoh moratorium yang telah diberikan ini.

Semoga dengan perancangan yang baik itu, akan dapat mengelakkan kita semua daripada terjebak dengan masalah lain yang lebih besar.

Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan kita semua. Insya-Allah.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu berada dalam musafir sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang. Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan ingatlah, Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Baqarah ayat 283)
Tags: bijak, khutbah, peluang
Subscribe

Posts from This Journal “bijak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments