mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Api Kemarahan

Petikan Khutbah Jumaat 14 Ogos 2020M / 24 Zulhijjah 1441H: JAIS

Api Kemarahan

Ayat 134 Surah ali Imran yang dibacakan pada awal khutbah tadi menjelaskan kepada kita bahawa sifat menahan marah dan sifat memaafkan kesalahan orang lain adalah kebaikan yang disukai oleh Allah SWT.
jais.jpg
Marah ialah salah satu sifat tercela yang perlu dijauhi oleh umat Islam kerana ia boleh membawa kesan negatif dalam kehidupan manusia.

Imam al-Ghazali menyatakan, marah ini merupakan nyalaan api yang bersumberkan daripada api Allah SWT yang menjulang tinggi sehingga naik ke ulu hati.

Orang yang dipengaruhi sifat marah mempunyai hubungan erat dengan syaitan kerana syaitan telah berjaya menarik urat sarafnya melalui tipu daya syaitan sehingga boleh menyebabkan wajah menjadi kemerahan, mata berapi-api kemerahan dan ada sebahagiaan orang boleh bertindak kasar terhadap apa yang ada di sekelilingnya.

Abu Hurairah RadiAllahu Anhu meriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berilah wasiat kepadaku. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan marah .” (Beliau mengulanginya beberapa kali). (Riwayat Al-Bukhari).

Sifat marah sangat besar kesannya dalam kehidupan kita. Bukan sahaja kepada orang yang dimarahi, Malah turut dirasai oleh si pemarah itu sendiri dan orang yang ada di sekelilingnya.

Emosi orang dimarahi mungkin akan terganggu lebih-lebih lagi jika dimarahi secara membuta tuli.

Orang yang dimarahi juga akan menyimpan dendam selama tempoh tertentu. Malah lebih teruk lagi akan membawa kepada persengketaan, permusuhan dan putusnya persaudaraan Islamiah dan Wataniah.

Orang yang memilih nyalaan kemarahan dalam percakapan, perbuatan dan tindakannya akan membuat keputusan secara melulu, berkemungkinan salah dan menzalimi dan menyakiti orang lain.

Akibatnya, kemusnahan dan kerugian yang berlaku membakar persahabatan, institusi keluarga, institusi masyarakat dan keluhuran bernegara.

Api kemarahan adalah tempat duduknya syaitan yang akan menyemarakkan tindakan dan kata-kata kesat dan kotor, maki-memaki, cerca-mencerca dan sumpah seranah.

Malah lebih hina lagi, api kemarahan boleh merebak sehingga bertindak menyekutukan Allah SWT, melanggar ketetapan syarak dan mengundang persepsi buruk Islam sebagai agama tertinggi dan Islam sebagai cara hidup.

Tegahan bersifat marah yang memusnahkan adalah mutlak. Bagaimanapun umat Islam dituntut untuk tegas dan marah menyatakan kebenaran dalam perkara hak dan menjadi tanggungjawabnya.

Umat Islam itu dituntut untuk tegas dan berprinsip. Seorang ayah hendaklah tegas terhadap anaknya yang selalu culas dalam menunaikan ibadah solat mengikut cara yang ditetapkan oleh agama.

Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitab Ihya Ulumuddin telah menyebutkan bahawa terdapat beberapa golongan manusia dalam menangani sifat marah. Antaranya golongan yang dinyatakan sebagai orang yang acuh tak acuh atau hilang kemarahannya sama sekali.

Sikap golongan ini sangat tercela sekali. Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang tidak ada sikap pembelaan dalam mempertahankan dirinya, isterinya, keluarganya dan hak-haknya terutama dalam urusan agama.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 29:“Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam).”

Selain itu golongan yang melampau batas dalam sifat marah tanpa mengenal batas dan ketentuan sehingga terzahir kebodohan diri sendiri, keluar daripada tuntutan agama dan menjauhi ketaatan. Kalau golongan pertama sikapnya sangat tercela sekali manakala golongan kedua ini sangat berbahaya pula.

Terdapat beberapa cara untuk kita menahan marah daripada meledak dalam diri. Antaranya ialah:

1. Berwuduk. Sebagaimana hadis Nabi dalam Sunan Abi Daud, daripada A’thiah bin Urwah al-Saadi al-Sahabi RadhiAllahu Anhu telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya sifat marah itu daripada syaitan, dan syaitan dijadikan daripada api, dan sesungguhnya dipadam api dengan air. Maka apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah maka berwuduklah.” (Riwayat Abu Daud)

2. Mengucap ta’awwuz. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 200 yang bermaksud: “Dan kalau engkau diperdayakan syaitan dengan sesuatu tipu daya, berlindunglah kepada Allah! Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

3. Mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk. Jika belum reda kemarahan itu, maka daripada posisi duduk kepada berbaring. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki). Jika tidak maka hendaklah dia berbaring.” (Riwayat Abu Daud) Oleh itu kemarahan perlu diurus dan dibuang dengan sering melakukan sifat-sifat mahmudah.

Mengakhiri khutbah Jumaat kita pada hari ini, marilah kita samasama menghayati intipati daripada khutbah yang dibacakan tadi:

1. Umat Islam hendaklah menjauhi sifat mazmumah yang boleh mencetuskan sifat marah seperti sombong, tinggi diri, menghina orang lain, suka bergurau senda secara melampau dan suka perbalahan.

2. Umat Islam hendaklah memiliki sifat marah yang bertepatan dengan anjuran ajaran Islam dan kena pada tempatnya yang betul.

3. Umat Islam hendaklah mencontohi ketegasan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW seperti yang dinyatakan dalam intipati khutbah tadi.

“Wahai Nabi! berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orangorang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. (al-Tahrim : 9).
Tags: khutbah, marah
Subscribe

Posts from This Journal “marah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments