mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Memahami Makna Peristiwa Hijrah Rasul

Petikan Khutbah Jumaat 21 Ogos 2020M / 02 Muharram 1442H: JAIS

“Memahami Makna Peristiwa Hijrah Rasul”

Perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW ialah suatu perjalanan kemenangan Islam. Perjalanan yang diperintahkan oleh Allah SWT yang sudah tentu bukan sebuah perjalanan pelarian seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Jika pun ada konspirasi untuk jais.jpgmembunuh Nabi Muhamaad SAW ia bukanlah faktor utama kerana ia adalah perjalanan ketaatan kepada Allah SWT.

Perjalanan Hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berliku ialah episod pengorbanan dan kejayaan seorang Rasul pembawa obor keimanan. Kesusahan dan kepayahan yang dilalui merupakan cabaran yang mesti dilalui demi ketaatan kepada Allah SWT walaupun terpaksa meninggalkan sanak saudara dan harta benda. Namun rahmat Allah dan keampunan-Nya bakal menanti.

Firman Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Peristiwa Hijrah Rasul yang menjadi inspirasi kepada ummah mempunyai pelbagai hikmah dan pengajaran. Ia merakamkan betapa besar maknanya perintah Hijrah ini dalam kelangsungan membawa syiar Islam sebagai agama tauhid.

Peristiwa Hijrah mencerna minda kita bahawa betapa perancangan yang teratur dan strategik menjadikan rancangan Hijrah itu berjalan dengan begitu sempurna disebalik dugaan yang mendatang.

Lihat sahaja bagaimana tokoh-tokoh penting dalam hijrah Nabi SAW sebagai pembantu-pembantu Nabi yang pintar dalam strategi risikan dan perang saraf, bantuan makanan dan lain-lain lagi yang mesti kita singkap peranan dengan mengkajinya.

Selain itu antara perkara yang mesti diperhati dan dipraktik ialah penggunaan Takwim Hijrah dalam kehidupan harian kita. Masih ramai lagi yang tidak fasih dan tidak tahu tentang nama-nama bulan dalam kalendar hijrah.

Bermula dengan Muharram, Safar, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir, Jumadal Ula, Jumadal Akhirah, Rajab, Sya’ban, Ramadhan, Syawwal, Zulqa’dah dan Zulhijjah. Memang tidak salah menggunakan kalendar Miladi tetapi Kalendar Hijrah itulah sebenarnya identiti kita sebagai umat Islam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru RadiAllahu ‘Anhuma bahawa nabi SAW bersabda:“Seorang muslim itu ialah seseorang yang orang Islam lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah itu ialah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. (Riwayat al-Bukhari)

Semangat Hijrah Nabi Muhammad SAW wajar diambil pedoman dalam situasi berhadapan wabak Covid-19 sekarang ini.

Hijrah mengajar umatnya agar sentiasa bersiap siaga dan berusaha dalam memastikan setiap matlamat dapat dicapai dengan jayanya disamping berdoa dan bertawakal.

Bukan itu saja kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi.

Saat ini betapa pentingnya semangat Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha mebantu saudara-saudara kita yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda.

Kesukaran hidup mengingatkan kita bahawa peristiwa hijrah mengajar umatnya sentiasa menyerahkan segala daya usaha hanya kerana Allah.

Semoga tahun baru hijrah yang disambut ini memberi nilai dan kekuatan kepada kita dalam menempuh cabaran yang mendatang.

Mengakhiri khutbah kita pada kali ini maka beberapa perkara penting yang mesti difahami antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW adalah perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah memastikan setiap hijrah ke arah kebaikan didahului dengan perancangan yang rapi.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik bagi mendapat ganjaran dan keredaan Allah SWT.

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Nisa’ : 100).
Tags: hijrah, khutbah, rasul
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments