mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Ummah Rabbani Negara Harmoni

Petikan Khutbah Jumaat 21 Ogos 2020M/ 2 Muharam 1442H JAWI


Ummah Rabbani Negara Harmoni


Setiap manusia memerlukan kehidupan yang sejahtera dalam negara yang harmoni, aman, tenteram dan makmur. Negara yang mempunyai ciri-ciri tersebut dapat dibina sekiranya setiap individu yang hidup di dalamnya mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul.
jawi_logo.jpg
Rasulullah SAW di dalam sirah baginda, telah berjaya membentuk para sahabat Radhiallahu ‘Anhum menjadi ummah rabbani yang mempunyai sahsiah tinggi, unggul dan berakhlak mulia.


Hasilnya setelah berhijrah ke Madinah, baginda SAW bersama para sahabat Radhiallahu ‘Anhum telah berjaya menubuhkan negara yang harmoni, stabil, aman dan makmur di kota Madinah al-Munawwarah.


Allah SWT telah memuji mereka menerusi firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”


Peristiwa hijrah tersebut mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam membentuk jati diri membina ummah yang rabbani.

Asas utamanya adalah keimanan yang benar dan tawakkal yang tinggi kepada Allah SWT. Dalam sirahnya, Nabi SAW dan para sahabat Radhiallahu ‘Anhum sanggup meninggalkan harta benda dan kesenangan dunia demi melaksanakan perintah Allah SWT.


Demikianlah seharusnya kita dituntut melaksanakan setiap perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya sekali pun terpaksa mengorbankan kesenangan dunia.


Justeru, kita dituntut untuk sentiasa berhijrah daripada perkara yang tidak baik kepada perkara yang lebih baik seperti mengubah sikap.
Perubahan ini mestilah dilakukan dengan bersunggung-sungguh dengan niat ikhlas kerana Allah SWT seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW dan para sahabat Radhiallahu ‘Anhum ketika berhijrah. Kita tidak mahu hanya tahu bercakap tetapi tiada usaha untuk berubah ke arah kebaikan.


Kita juga mesti mengubah kebiasaan kepada yang lebih baik. Imam al-Bukhari RH meriwayatkan hadis daripada Ibn ‘Abbas Radhiallahu ‘Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:“Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (Mekah), namun (yang tetap ada ialah) jihad dan niat. Jika kamu diperintahkan berjihad, maka berangkatlah.”


Sememangnya dalam usaha membentuk ummah yang rabbani memerlukan usaha yang berterusan oleh semua pihak.


Justeru, hasrat untuk melahirkan ummah rabbani yang memiliki kekuatan dalam aspek pegangan akidah, pemikiran, rohani dan jasmani sangatlah penting untuk mendepani cabaran membina sebuah negara yang sejahtera.


Sebagai umat yang mempunyai semangat hijrah, marilah kita sama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi, bersatu padu ke arah kebaikan dan kebersamaan serta sentiasa menyokong antara satu sama lain.


Dalam pada itu, sebagaimana penduduk Madinah yang patuh terhadap Piagam Madinah, begitulah juga kita sebagai warganegara Malaysia mestilah mentaati Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak perpaduan pelbagai kaum di negara ini.


Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama mengambil semangat penghijrahan Rasulullah SAW bersama para sahabat Radhiallahu ‘Anhum dan membina ummah yang rabbani demi mencapai sebuah negara yang harmoni.


Renungkan firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 20: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Tags: harmoni, khutbah, rabbani, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “rabbani” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments