mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Malaysia Prihatin

Petikan Khutbah Jumaat 28 Ogos 2020M/ 9 Muharam 1442H JAWI

Malaysia Prihatin

Kemerdekaan adalah suatu anugerah, nikmat dan rahmat daripada Allah SWT. Melaluinya, Allah SWT telah kurniakan keamanan dan keharmonian hidup bermasyarakat dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di negara ini.

Sebagai umat Islam, kita wajib mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dikurniakan ini.

jawi_logo.jpg

Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud :“Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memberitahu: Demi sesungguhnya, Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

Bersyukurlah kerana Malaysia berada dalam suasana aman dan harmoni. Sedarlah, betapa pentingnya kemerdekaan dalam kehidupan manusia kerana dengannya syariat Islam terus terpelihara dan dapat diamalkan dalam kehidupan.

Hasilnya, sistem pentadbiran dan perundangan Islam juga dapat diperkasakan. Justeru, marilah kita beristiqamah mengamalkan syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan supaya nikmat kemerdekaan ini tidak disia-siakan.

‘Malaysia Prihatin’, merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi krisis pandemik COVID-19 serta.

Inilah kesungguhan kita dalam memastikan wabak ini diputuskan rantaiannya apabila semua pihak sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan saling berkerjasama.

Perkataan ‘Prihatin’ menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif PRIHATIN yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.


Pakej rangsangan ekonomi ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat untuk beroperasi semula setelah melalui saat sukar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dikuatkuasakan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau secara ringkasnya PENJANA dengan 40 inisiatif untuk kebajikan rakyat Malaysia.

Menyelusuri sejarah negara ini, tentunya kita dapat melihat ramai pahlawan kita berjuang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.


Mereka berjuang bersama walaupun dari pelbagai latar belakang bangsa dan keturunan. Hargailah perjuangan mereka dengan memastikan kemerdekaan negara ini terus terpelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita juga mestilah bersatu padu dan saling berkerjasama walau berbeza bangsa dan keturunan ke arah mencapai kejayaan sebagaimana ibrah daripada sejarah penyatuan golongan muhajirin dan ansar demi memastikan kesejahteraan dan kehamrnonian negara terus terpelihara.

Hari ini, kita masih lagi berjuang dalam membebaskan negara tercinta ini daripada wabak COVID-19. Justeru, pastikan kita sentiasa
mematuhi segala garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan amalkan norma baharu setiap masa.

Dalam pada itu, marilah kita mengisi sambutan Hari Kebangsaan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Apa yang penting, pastikan sambutannya tidak dicemari dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral dan merosakkan.

Mengakhiri khutbah, marilah kita sama-sama membantu usaha kerajaan dalam menjayakan misi Malaysia Prihatin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 41: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Tags: khutbah, prihatin
Subscribe

Posts from This Journal “prihatin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments