mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Langsaikan Hutang

Petikan Khutbah Jumaat 04 Sept 2020M / 16 Muharram 1442H: JAIS

Langsaikan Hutang

Islam mengharuskan seseorang berhutang duit dengan orang lain atau institusi kewangan Islam. Kerana tidak semua orang mempunyai kecukupan wang dalam kehidupan seharian atas pelbagai faktor.
jais.jpg
Manusia itu pelbagai latar belakangnya, ada yang kaya dan memiliki aset, dan ada pula yang yang tidak cukup untuk keperluan hariannya

Maka bagi yang mempunyai kekangan kewangan ada keperluan untuk membuat pinjaman dan pembiayaan, dengan syarat ia bukan untuk tujuan bermewah dan mestilah menjauhi riba.

Bahkan syariat Islam menggalakan pula bagi yang berkemampuan untuk memberi hutang sebagai cara menolong sesama manusia.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melepaskan kesukaran mukmin yang lain daripada kesukaran dunia maka Allah akan melepaskan kesukarannya pada hari kiamat, dan sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat”. (Riwayat Muslim).

Kita sedia maklum bahawa dunia telah dilanda penularan wabak COVID-19. Ia telah merebak termasuklah ke negara kita. Wabak ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kesihatan, malah keadaan ekonomi negara telah turut terjejas berikutan pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

Ramai dalam kalangan kita yang terkesan dan mengalami kesempitan wang apabila sumber pendapatan mula terjejas kerana gaji dipotong dan hilang punca pendapatan.

Menjangkakan kesulitan yang dihadapi sejak awal pelaksanaan PKP lagi, maka pihak kerajaan telah mengumumkan pemberian moratorium iaitu penangguhan pembayaran ansuran pembiayaan secara automatik selama 6 bulan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 280: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya”

Alhamdulillah dengan izin Allah, langkah PKP yang diambil oleh Kerajaan telah membuahkan hasil. Aktiviti ekonomi di negara kita juga sedang dalam proses pemulihan.

Tempoh penangguhan pembayaran ansuran pembiayaan yang diberikan juga hampir tamat. Bermula bulan Oktober ini, kita perlu menyambung semula pembayaran ansuran pembiayaan seperti biasa.

Justeru, bagi memudahkan urusan kewangan kita, Khatib ingin menasihatkan sidang Jemaah sekalian supaya segera membuat persiapan.

Usahlah tunggu sehingga tamat tempoh moratorium. Ambillah langkah-langkah persiapan bermula dari hari ini, seperti:

i. Menyemak semula kedudukan kewangan untuk keperluan harian;

ii. Menghubungi pihak bank untuk menyemak bayaran ansuran bulanan yang tertangguh yang perlu dijelaskan selepas tempoh moratorium tamat;

iii. Berbincang dengan pihak bank tentang pelan bayaran ansuran pembiayaan yang baharu bersesuaian dengan kemampuan masingmasing sekiranya perlu; ataupun

iv. Mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi-agensi Kerajaan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu dan Skim Resolusi Hutang Kecil bagi PKS.

Langsaikanlah hutang yang menjadi tanggungjawab kita dan usahlah bertangguh-tangguh kerana ia merupakan perbuatan yang zalim sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak (membayar hutang) adalah zalim”. (Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW juga pernah mengkhabarkan berkenaan pertolongan Allah kepada golongan manusia yang mempunyai niat yang tulus untuk membayar hutangnya kembali sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun Sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya”. (Riwayat al-Bukhari)

Peri pentingnya membayar hutang juga telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran bahawa pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak hanya boleh dibuat setelah dilaksanakan wasiat dan dilunaskan hutang yang ditanggung oleh simati.

Malah Baginda Nabi SAW juga pernah enggan mendirikan solat jenazah ke atas seseorang yang masih menanggung hutang kepada manusia lain sehinggalah seorang sahabat Nabi sanggup menjadi penjamin untuk melunaskan hutang tersebut, barulah Baginda bersedia meneruskan solat ke atas jenazah berkenaan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati intipati khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala musibah merupakan satu bentuk ujian oleh Allah SWT bagi menguji keimanan para hamba-Nya.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa berhutang dan mengambil pembiayaan merupakan satu bentuk muamalat yang diharuskan, manakala membayar balik pembiayaan adalah dituntut oleh Syarak.

3. Umat Islam hendaklah berdisiplin untuk melunaskan tanggungjawab hutang.

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah: 245)
Tags: hutang, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hutang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments